Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden rempuhan yang berlaku di Itaewon, Republik Korea Selatan pada Sabtu lalu.
Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah berkata hanya seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden itu dan kini sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Joogang, Seoul.
Tambahnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul telah menghubunginya bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Pihak kedutaan juga telah menghulurkan bantuan konsular termasuk memudahkan urusan perjalanan kedua-dua ibu dan bapa mangsa ke Republik Korea,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus memantau insiden tersebut dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
“Warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan dan memerlukan bantuan konsular adalah dinasihatkan untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Seoul melalui talian 00(882)7959203/2077-8600 atau +8201098748699 (kecemasan konsular selepas 5 petang /cuti umum) atau di e-mel [email protected],” katanya lagi.
Sumber: Twitter Saifuddin Abdullah