Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik kepada 2.75 peratus dengan kenaikan mata asas sebanyak 25.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam satu mesyuarat yang diadakan hari ini.
Menurut BNM, Kenaikan itu diputuskan selepas ekonomi global yang terus dibebani oleh tekanan kos yang meningkat, keadaan kewangan yang lebih ketat dan langkah-langkah sekatan yang ketat di China.
“Kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.
“Tekanan inflasi berlarutan lebih lama daripada jangkaan disebabkan oleh permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang ketat dan harga komoditi yang tinggi, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.
“Kesannya, banyak bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah bagi menguruskan tekanan inflasi,” kata BNM.
Ekonomi kukuh suku ketiga
Sementara itu, bagi ekonomi Malaysia pula kini menunjukkan ekonomi terus kukuh pada suku ketiga dengan didorong oleh permintaan domestik yang teguh.
Meskipun persekitaran global mencabar pada masa hadapan, permintaan domestik dijangka akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun. Namun begitu, permintaan luaran dijangka menjadi sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.
“Walaupun terdapat ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia.
“Keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur,” jelas MPC.
Tambah BNM, risiko ekonomi domestik menjadi perlahan kerana dipacu pertumbuhan global yang lebih daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global di tengah-tengah pengetatan dasar monetari yang lebih agresif dalam ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Oleh itu, selaras dengan penilaian awal, inflasi berkemungkinan memuncak pada suku ketiga 2022 dan dijangka menjadi sederhana selepas itu walaupun kekal pada tinggi.
“Menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri. Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi,” katanya.
Sumber: Bank Negara Malaysia