Manuel Neuer Dedah Hidap Kanser Kulit, Sudah 3 Kali Jalani Pembedahan Di Muka
Penjaga Gol Bayern Munich dan Jerman, Manuel Neuer mendedahkan bahawa dia telah menjalani tiga pembedahan di mukanya akibat kanser kulit.
Memetik laporan Eurosport, perkara itu didedahkan oleh pemain tersebut susulan pelancaran pusat penjagaan kulit miliknya tidak lama lagi.
Menurut Neuer, penyakit yang dialaminya itu menjadi pendorong untuk menubuhkan pusat penjagaan kulit itu dengan kerjasama rakan senegara, Angelique Kerber yang merupakan juara tenis Terbuka Grand Slam sebanyak tiga kali.
“Kami berdua mempunyai sejarah penyakit kulit. Bagi kes Angelique, ia disebabkan hiperpigmentasi yang berkait rapat dengan matahari.
“Manakala saya pula disebabkan kanser kulit di muka dan sudah dibedah sebanyak tiga kali.
“Disebabkan itu, kami mengambil perhatian khusus terhadap perlindungan di bawah matahari kerana saya sentiasa berlatih di bawah sinaran matahari di padang,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Penjaga gol berusia 36 tahun itu tidak pernah mendedahkan kepada umum mengenai kanser yang dialaminya sebelum ini. Bila pembedahan itu dijalankan juga tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, kemunculan semula penjaga gol utama kebangsaan itu sedikit terbantut apabila dia disahkan mengalami kecederaan di bahu dan terlepas perlawanan sejak awal Oktober lalu.
Dia berharap dapat kembali cergas untuk baki tiga perlawanan bersama Bayern sebelum membuat penampilan di Piala Dunia Qatar nanti.
Kelab dari Jerman itu dijangka turun menentang Hertha BSC pada Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Werder Bremen dan bertandang ke gelanggang Schalke.
Untuk pengetahuan, Manuel Neuer telah mempunyai 113 caps (perlawanan) bersama pasukan kebangsaan Jerman dan membantu negara itu untuk memenangi Piala Dunia pada 2014 .
Neuer yang merupakan tonggak utama pasukan turut menerima anugerah Golden Glove pada tahun yang sama.
Bukan sahaja itu, dia turut tersenarai dalam nama-nama All-Star Piala Dunia 2010 dan 2014.
Sumber: Eurosport