PRU15: Uncle Kentang Bertanding Di Parlimen Puchong Sebagai Calon Bebas
Aktivis sosial terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang mendedahkan bahawa dia bakal bertanding di kerusi parlimen Puchong sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Kenyataan itu dimuat naik sendiri olehnya menerusi satu coretan di platform media sosial, Facebook hari ini.
“Untuk orang Puchong. Yang ada undi di tangan anda di P103. Setelah sahabat sahabat kita ditinggalkan, kita bangkit semula.
“Kita muram, kita merajuk, kita mengalah kerana bukan sahabat kita jadi calon. Bukan orang tempatan jadi calon. Bukan mereka yang telah berkhidmat jadi calon,” katanya.
Tambah Kuan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh berjumpa dengannya di mana-mana sahaja seperti sebelum ini untuk mengadu sebarang permasalahan.
Selain itu, beliau turut menyifatkan bahawa dia bukanlah seorang yang elit untuk susah berjumpa.
“Jangan resah dan gusar. Kita masih ada seorang apek Cina yang boleh di pangkah.
“Seorang yang kamu boleh jumpa setiap hari di kedai mamak, di pejabat, di rumah, di pasar malam, pasar pagi, di hospital, di tepi jalan ketika anak kita terbaring berlumuran darah di kemalangan jalanraya, ketika kau susah dan tiada duit untuk beli makan.
“Maka itu terpulanglah pada anda. saya bukan orang elit, saya orang biasa-biasa. Mudah dijumpa bukan 5 tahun sekali baru muncul. Mudah di jumpa di mana mana untuk mendengar masalah kamu.
Tambahnya lagi, dia juga berharap agar orang ramai bijak dalam memilih calon sewaktu PRU15 tidak lama lagi.
“Kalau tak pun kita dapat minum kopi di mana mana. Undi ditanganmu. Pilih yang senang dijumpai bukan jumpa di padang golf atau hotel mewah.
“Kita jumpa tepi jalan, tepi gerai, tepi warung, di lorong antara flat pun boleh,” tulisnya di Facebook.
Sementara itu, dalam perkongsian yang dimuat naik semalam, beliau telah menawarkan diri untuk menjadi calon bebas di parlimen itu.
“Orang Puchong mempunyai pilihan alternatif. Satu suara yang boleh betul-betul mewakili kamu semua. Orang Tempatan. Mudah di jumpa di mana mana di Puchong. Mesra. Senang mendapat bantuan. Nak sign borang, pejabat dekat Puchong Utama sahaja,” katanya.
Sumber: Facebook Kuan Cheng Heng