Siakap Keli
Kredit: AFP

Tragedi Oktober Baru Berlalu, Ini Lima Tragedi Berdarah Seluruh Dunia Ragut Hingga Ratusan Nyawa

Tragedi Oktober Baru Berlalu, Ini Lima Tragedi Berdarah Seluruh Dunia Ragut Hingga Ratusan Nyawa

Bulan Oktober baru sahaja berlalu. Bagi sesetengah orang, berlalunya bulan ini adalah sama seperti berlalunya bulan-bulan yang lain. Namun, bagi sebahagian daripada warga dunia, Oktober adalah bulan yang penuh dengan duka. Ratusan nyawa terkorban susulan pelbagai tragedi yang berlaku, sama ada dihentam bencana alam, kemalangan manusia ataupun peperangan.

Berikut beberapa tragedi berdarah yang berlaku pada Oktober, mengutip dari berbagai sumber.

Insiden Rusuhan di Stadium Kanjuruhan di Indonesia

Tirai Oktober 2022 telah dikejutkan dengan tragedi memilukan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan, Malang. Kejadian rusuhan yang berlaku selepas perlawanan bola sepak antara pasukan tuan rumah Arema melawan pasukan Persebaya, Sabtu (1/10/2022), menjadi salah salah satu kejadian paling menyedihkan dalam dunia bola sepak.

Sebanyak 135 orang maut dalam insiden rusuhan tersebut yang didakwa berpunca daripada tindakan penyokong tuan rumah menceroboh masuk ke padang. Bagi mengawal situasi, pihak polis kemudian dilapor menembak gas pemedih mata ke arah tempat duduk penonton, menyaksikan orang ramai berpusu-pusu keluar dari stadium untuk menyelamatkan diri.

Situasi panik menyebabkan penonton bersesak-sesak hingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban, salah satunya berpunca daripada sesak nafas dan dipijak.

Kredit: AFP

Taufan Nalgae di Filipina

Di Filipina, berlakunya satu bencana alam iaitu Taufan Nalgae yang telah meragut nyawa puluhan orang. Pihak berkuasa tempatan pada 31 Okteber melaporkan sebanyak 98 nyawa terkorban dengan 63 orang hilang dan 69 lain mengalami kecederaan.

Selain itu, Taufan Nalgae juga menyebabkan sembilan tempat dilanda banjir yang mana sebahagian besarnya merupakan kawasan perkampungan di sekitar Cotabato. Kawasan berkenaan menjadi kediaman kepada 300,000 penduduk.

Menurut Jurucakap Pasukan Penyelamat Daerah, Naguib Sinarimbo, berkata, penduduk-penduduk di kampung itu banyak yang tidak bersedia dan terkejut melihat kehadiran air banjir yang naik mendadak.

Kredit: AFP

Bom Kereta di Somalia

Dua bom kereta telah meledak berdekatan kompleks Kementerian Pendidikan Somalia, yang berada berdekatan pasar yang ramai orang pada 29 Oktober. Insiden berdarah itu menyaksikan 100 orang maut dan mencederakan 300 yang lain.

Letupan pertama yang menghentam Kementerian Pendidikan sekitar pukul 2 .00 petang. Letupan kedua pula kedengaran beberapa minit kemudian ketika ambulans tiba dan orang-orang sedang berkumpul untuk membantu mangsa.

Selain itu, kawasan berkenaan juga menjadi tumpuan orang ramai kerana merupakan kawasan perniagaan yang aktif dengan aktiviti jual beli pakaian, makanan dan pelbagai lagi.

Jambatan Roboh di India

Satu tragedi yang mengejutkan banyak pihak berlaku di Gujerat, India Barat pada 30 Oktober apabila sebuah jambatan gantung era kolonial telah runtuh dan meragut 134 nyawa.

Kredit: AFP

Menurut laporan, ketika kejadian jambatan yang berada di atas Sungai Machhu, Morbi itu dipenuhi dengan pelancong yang sedang menikmati cuti perayaan sebelum runtuh dan menyebabkan mereka yang berada diatasnya terhumban ke dalam sungai.

Pihak berkuasa memaklumkan terdapat lebih daripada 400 orang yang di sekitar jambatan itu dan 150 orang berada di atas jambatan saat kejadian malang itu berlaku. Lokasi berkenaan adalah kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong ketika sambutan Deepavali dan Chhath Puja.

Jambatan sepanjang 230 meter ini didirikan semasa era penjajahan Inggeris pada abad ke-19. Sebelum ini, jambatan tersebut telah ditutup untuk naik taraf selama enam bulan dan dibuka kembali untuk orang awam baru-baru ini.

Tragedi Halloween di Itaewon, Korea Selatan

Perayaan Halloween di daerah Itaewon, Korea Selatan pada malam 29 Oktober telah menjadi satu tragedi yang sangat mengerikan. Ratusan orang maut dan mengalami kecederaan akibat bergesel ketika tersekat dalam lautan manusia di tempat sempit serta permukaan jalan yang berbukit.

Berdasarkan laporan The Korea Herald, tragedi tersebut telah menyebabkan 154 orang maut, 26 daripadanya merupakan warga asing, serta 132 lain mengalami kecederaan.

Warga asing yang menjadi mangsa korban bagi insiden ini berasal dari 14 negara antaranya dari Iran, Uzbekistan, China, Rusia dan Norway. Sementara itu, setakat 30 Oktober seramai 4,024 orang lagi pengunjung dilaporkan hilang.

Pihak polis menganggarkan kira-kira 100,000 orang berkumpul di Itaewon pada malam kejadian. Kawasan berkenaan yang terletak di ibu kota, Seoul merupakan kawasan yang terkenal dengan kehidupan malam dan perayaan Hallowen yang disambut itu merupakan kali pertama diadakan sejak pandemik.

Kredit: AFP

Kebanyakan mangsa yang meninggal akibat sesak nafas dan dipijak ketika jatuh. Video-video dan gambar-gambar yang tular menunjukkan suasan kelam kabut di lokasi kejadian, antaranya petugas medik yang berusaha memberikan bantuan pernafasan CPR kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Sumber: CNBC Indonesia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.