Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sememangnya ada cara duduk yang betul untuk elak kita sakit belakang semasa bekerja di depan komputer.
Memang tidak dapat dinafikan kalau duduk terlalu lama menghadap laptop akan menyebabkan kita mengalami sakit badan terutamanya pada bahagian belakang.
Lebih-lebih lagi ketika Covid-19 melanda, kita diperkenalkan dengan amalan gaya kerja bekerja dari rumah atau work from home (WFH) dan Open and Distance Learning (ODL).
Dalam menempuh wabak itu, kita terpaksa mengerjakan semuanya dari rumah misalnya pekerjaan ataupun pembelajaran. Dengan demikian kita akan menghabiskan banyak masa untuk duduk dan menghadap komputer.
Tetapi tidakkah anda berfikir bagaimana orang lain boleh duduk dalam jangka masa yang lama untuk membuat kerja atau belajar?
Menurut satu perkongsian daripada Jan di laman Twitter miliknya, dia mampu menghabiskan 12 jam sehari untuk duduk di kerusi sambil membuat kerja atau bermain game tanpa merasa sakit belakang.
Tapi dengan syarat, pastikanlah cara dan tempat duduk itu betul pada posisinya.
Oleh itu, bagi golongan yang kerap mengalami sakit belakang, anda perlu menggunakan kaedah ini untuk menjaga tulang belakang selain anggota badan yang lain. Jom ikuti perkongsian Jan di bawah.
1. Posisi laptop dan kepala
Menurut perkongsian daripada Jan, adalah sangat penting untuk memiliki laptop stand. Hal ini supaya pandangan mata dengan screen dapat diselarikan.
Jadi, apa yang akan berlaku sekiranya tidak menggunakannya? Ini akan menyebabkan kita terpaksa tunduk untuk dalam jangka masa yang lama.
Secara tidak langsung, tabiat seperti itu akan menyebabkan tengkuk kita lenguh dan sakit.
Malah, jika anda tahu purata berat kepala kita adalah 5 kg/11 lbs. Ditambah lagi apabila kita menggoyangkan kepala, beratnya akan menghampiri 22 kg.
Jadi, bayangkan tengkuk anda akan menampung ‘beban’ 22 kg selama sejam, apa akan terjadi? Bagaimana pula, kalau berlarutan selama tujuh ke sembilan jam?
2. Papan kekunci dan tetikus digunakan asing
Hal ini kerana jika anda menggunakan laptop stand, keupayaan untuk menaip dan menggunakan cursor agak sukar.
Oleh itu, adalah digalakkan untuk menggunakan papan kekunci dan tetikus asing semasa membuat kerja. Perkara ini akan menjamin posisi badan dan jarak skrin laptop dengan mata anda sekiranya menggunakan kaedah ini.
Dapat dilihat mata anda tidak akan berasa pedih kerana jarak mata dengan skrin berada pada tahap yang sesuai.
Sementara kalau menggunakan tetikus, anda hanya gunakan satu jari sahaja untuk scroll sebaliknya jika laptop, anda akan menggunakan dua jari.
Tidak dinafikan badan anda akan cepat penat walaupun hanya melibatkan anggota badan yang kecil.
3. Kerusi
Manakala untuk posisi badan pula, anda perlu menggunakan kerusi yang bersesuaian dan selesa. Tidak kisahlah jenis atau jenama apa sekalipun, asalkan ada tiga ciri berikut.
Ciri tersebut iaitu kerusi yang ada tempat letak kepala yang selesa, tempat letak tangan yang boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan bantal lumbar untuk menyokong tulang belakang.
Memang kebanyakan orang akan menyarankan menggunakan kerusi gaming, tetapi ada sesetengah orang tidak selesa. Jadi, perkara itu bergantung kepada kesesuaian masing-masing.

Malah, Jan juga berkongsi untuk pemilihan kerusi bagi golongan yang bersaiz besar. Menurutnya, bagi golongan ini yang menginginkan kerusi gaming, saranannya adalah kerusi jenama Anda Seat.
Bagaimanapun, Jan turut mencadangkan untuk menggunakan kerusi pejabat yang tinggi pada bahagian belakang supaya memudahkan anda untuk merehatkan kepala.
Tambahan pula, anda dinasihatkan untuk mengelakkan pembelian secara atas talian kerana anda tidak boleh untuk mencubanya terlebih dahulu sebelum menggunakannya secara mutlak.
4. Kusyen alas kaki
Bagi Jan, untuk kusyen alas kaki ini tidak semestinya anda menggunakan bantal. Anda boleh sahaja gunakan barang lain yang sesuai untuk dijadikan alas kaki.
Asalkan posisi kaki dan paha betul semasa membuat kerja, jadi jika ingin gunakan barang lembut atau keras tidak kisah, terpulang kepada anda.

5. Posisi tangan dengan papan kekunci
Bagi memastikan keselamatan tangan, anda tidak digalakkan untuk meletakkan pergelangan tangan di hujung meja seperti dalam gambar di bawah.
Hal ini akan menyebabkan pergelangan tangan anda berasa sakit.

6. Penjagaan mata
Jarak yang disarankan antara skrin dengan mata adalah sejauh 50-60 cm. Jadi, anda boleh letakkan papan kekunci dan laptop pada jarak sedemikian.
Hal ini kerana jarak tersebut memang sesuai untuk mengelakkan ketegangan mata selain cahaya skrin laptop juga perlu diselaraskan dengan betul.
Malah, anda juga tidak digalakkan untuk meletakkan laptop pada tempat yang ada pantulan cahaya.
Pernahkan anda terfikir bahawa anda tidak perlu untuk mendekatkan diri dengan peranti tersebut sekiranya jarak terlalu jauh?
Tetapi anda boleh besarkan skrin atau zoom sahaja, masalah anda akan dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, Jan turut berkongsi untuk mengelakkan diri daripada membuat kerja di atas tilam atau sebagainya.
Untuk baca perkongsian Jan dengan lebih lanjut, boleh ikuti bebenangnya di bawah.
Dah lebih 2 tahun aku kerja WFH. Memang kerja hari-hari ngadap laptop.
Penting utk tahu supaya tak bongkok atau sakit badan nanti.
Ni aku share sikit kenapa aku tak rasa sakit pinggang, badan & mata even buat kerja + main game lebih 12 jam sehari. pic.twitter.com/IEJgeBrRiI
— 𝙹𝚊𝚗⚡️ (@jancoca) November 7, 2022
Sumber: Jan | Twitter