Netizen Bekerjasama Tawar Khidmat “Carpool”, Bantu Pengguna LRT Yang Kesukaran
Ramai pengguna media sosial telah mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatan tumpang kenderaan atau “carpool” bagi mereka yang mengalami masalah atau kesukaran untuk pergi bekerja menggunakan perkhimatan awam LRT.
Inisiatif itu dibuat selepas perkhidmatan 16 Stesen LRT laluan Kelana Jaya hingga Ampang Park sedang menghentikan operasinya selama tujuh hari bermula 9 November hingga 15 November.
Menerusi tinjauan di Twitter, penggunaan tanda pagar #LRTDOWN yang melibatkan pengguna Twitter telah menjadi bualan hangat.
Ada juga pengguna Twitter yang bermurah hati membuat tawaran untuk “carpool” bagi mereka yang sedang mengalami masalah untuk bergerak pergi kerja.
Antara ciapan yang mendapat perhatian adalah datang daripada pengguna yang menggunakan nama Intan. Dia telah menawarkan perkhidmatan tumpangan tersebut kepada mereka yang sedang hadapi kesukaran. Namun dia hanya memberi keutamaan kepada penumpang wanita sahaja.
“Hari ini saya akan keluar dari stesen LRT Glenmarie ke Setiawangsa. Saya akan keluar ofis jam 6.30 petang,”tulis wanita itu.

Salah seorang lagi pengguna yang bernama Ammar Azman pula berkongsi ciapannya untuk menawarkan perkhidmatan tumpangan itu kepada mereka yang memerlukan.
“Ada yang nak tumpang? Dari D’Amon Crimson sebelah LRT Lembah Klang ke Amcorp Mall. Setiap hari jam 8 pagi dan pulang pada jam 5.40 petang.
“Kosong untuk tiga orang lagi,” tulis Ammar dalam ciapannya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna bernama Sarah Skywalker turut memuat naik ciapan yang menawarkan perkhidmatan tumpangan tersebut. Bagi mereka yang sukar mendapatkan perkhidmatan bas atau e-hailing pada waktu pagi, boleh menghubunginya menerusi ciapan berkenaan.
“Sekiranya sesiapa memerlukan perjalanan dari stesen Gombak ke KLCC untuk perjalanan sehala, pagi. Sepanjang minggu dari rumah, sila beritahu saya.
“Ia akan menjadi perjalanan awal, tetapi jika ada yang tidak dapat mendapatkan bas atau kereta e-hailing, DM (mesej terus) saya,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Rabu.

Menerusi ciapan-ciapan itu, ia secara tidak langsung menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai sifat tolenrasi dan bantu-membantu sesama kita ketika memerlukan.
Namun begitu, dengan wujudnya perkhidmatan “carpool” ini pengguna diharapkan untuk sentiasa waspada dan berhati-hati. Sentiasa kemaskini keberadaan anda kepada kenalan sewaktu menggunkan perkhidmatan tumpangan ini.
Sumber: Sinar Harian, Richard Ker