Tular Video Penunggang Motosikal Ragut Penumpang Myvi, Polis Sahkan Peragut Berjaya Diberkas
Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa seorang penunggang motosikal yang disyaki meragut penumpang sebuah kereta dalam satu rakaman video berlaku di Jalan Genting Klang, Setapak telah berjaya ditahan, lapor Astro Awani.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 32 tahun itu telah ditahan pada 11.30 malam Selasa lalu selepas melakukan jenayah tersebut.
Barang yang berjaya dirampas bersama lelaki tersebut adalah merupakan sebuah telefon bimbit milik penumpang kenderaan berkenaan.
Menurut Ashari, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian daripada mangsa pada sabtu lalu.
“Suspek yang menunggang sebuah motosikal telah meragut telefon bimbit mangsa ketika cermin tingkap kereta itu dalam keadaan terbuka sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.