Siakap Keli

Cegah Influenza, Lindungi Jantung Anda

Tahukah anda bahawa anda boleh mengalami serangan jantung atau strok apabila anda menghidap influenza? 

Ramai antara kita yang mengaitkan influenza dengan komplikasi pernafasan, misalnya pneumonia. 

Kajian yang dijalankan baru-baru ini memberikan amaran bahawa influenza meningkatkan risiko berlakunya serangan jantung sebanyak lebih daripada 10 kali ganda dalam masa 7 hari pertama selepas mendapat influenza.

Lebih-lebih lagi jika anda berusia 65 tahun ke atas, tanpa mengira sama ada anda mempunyai sejarah penyakit jantung atau menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes (kencing manis), penyakit paru-paru dan penyakit buah pinggang.

Professor Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, mengingatkan yang kita perlu berfikir perihal influenza ini semula. 

“Influenza tidak hanya bererti demam, hidung berhingus, batuk dan sakit-sakit badan tetapi juga boleh memudaratkan jantung anda dengan serius” tambah beliau.

Di negara-negara perindustrian, kebanyakan kematian yang berkait dengan influenza berlaku dalam kalangan orang tua yang berusia 65 tahun ke atas. 

Penting dinyatakan bahawa influenza boleh dizahirkan sebagai penyakit pernafasanyang agak ringan atau secara kurang tipikalnya, tanpa demam dan berserta batuk, rasa lesu dan kekeliruan dalam kalangan orang yang berumur, seterusnya mencetuskan deretan kejadian yang berbahaya.

Cara yang terbaik untuk melindungi diri daripada influenza dan komplikasi yang mungkin serius adalah dengan mengambil vaksinasi influenza setiap tahun.

Adalah disarankan untuk mengambil vaksin influenza sekarang, terutamanya sebagai langkah persediaan untuk menghadapi Hari Pilihan Raya Umum Ke-15 yang bakal menyusul.

Bersesak-sesakan dan perjalanan yang tidak dapat dielakkan semasa musim mengundi boleh menyumbang kepada sebaran penyakit-penyakit berjangkit seperti influenza (dan COVID-19).

BAGAIMANA INFLUENZA MEMBERI TEKANAN TERHADAP JANTUNG ANDA 

Jangkitan mencetuskan tindakan sistem keimunan.

Walaupun sistem keimunan melindungi kita daripada penyakit berjangkit seperti influenza, namun keradangan yang berlaku sebagai gerak balas keimunan juga boleh merosakkan tisu dan organ kita sendiri apabila tercetusnya gerak balas yang kuat.

Contohnya ialah kesan Covid-19 yang mencetuskan hiperpengaktifan sistem keimunan dan pelepasan sitokin yang tidak terkawal. Sitokin ialah molekul-molekul kecil yang membantu komunikasi antara sel dalam gerak balas keimunan dan merangsang pergerakan sel ke arah kawasan jangkitan. 

Pelepasan sitokin secara tidak terkawal ini, yang diistilahkan sebagai “ribut sitokin”, digunakan untuk menggambarkan pelbagai kejadian yang mungkin akhirnya mengakibatkan kegagalan pelbagai organ dan kematian.

Kajian mencadangkan bahawa gerak balas keradangan yang sama ini terhadap jangkitan boleh mencetuskan kejadian kardiovaskular apabila anda mendapat jangkitan influenza. 

Bagaimanakah hal ini berlaku sebenarnya?

Seperti yang diterangkan oleh Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia dan pakar jantung Dr Alan Fong, gerak balas keimunan badan yang berganding dengan kesan influenza secara langsung terhadap lapisan dalam salur darah atau plak aterosklerosis semasa berlakunya jangkitan virus influenza, dipercayai boleh menyebabkan plak pecah, arteri tersumbat dan akhirnya menyebabkan serangan jantung atau strok (angin ahmar).

Beliau menambah, “Selain itu, terdapat faktor-faktor lain yang memainkan peranan, misalnya tekanan fisiologi, kenaikan kadar degupan jantung atau perubahan faktor-faktor metabolisme seperti penggunaan glukosa, asid lemak dan protein sebagai gerak balas terhadap jangkitan.”

ADAKAH ANDA BERISIKO?

Sebuah kajian sebelum berlakunya pandemik mendapati bahawa jangkitan virus influenza lebih berkemungkinan mencetuskan serangan jantung berbanding dengan jangkitan pernafasan yang lain. 

Sebuah kajian lain mendapati bahawa influenza meninggikan risiko berlakunya serangan jantung dan strok dalam kalangan orang dewasa yang berusia 40 tahun ke atas walaupun mereka tiada sejarah penyakit ini.

Bagi orang yang berumur, beberapa perubahan yang berlaku pada sistem keimunan akan merosotkan kebolehan badan melawan jangkitan seperti influenza. Hal ini diterangkan oleh Profesor Dr Tan Maw Pin yang mempengerusikan Jawatankuasa Kecil Flu Dan Warga Emas di bawah Malaysian Influenza Working Group (MIWG).

Beliau menambah, “Selain itu, proses penuaan menyumbang kepada keradangan gred rendah yang kronik dan tidak berjangkit, yang disebut radang penuaan, yang berperanan penting sebagai punca yang menyebabkan dan memburukkan penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular.”

“Penuaan juga menggalakkan kejadian dan kemajuan aterosklerosis, iaitu punca yang paling lazim menyebabkan sindrom koronari akut, dimana apabila darah yang dibekalkan ke jantung tiba-tiba tersekat.” 

Beliau menyimpulkan, “Oleh itu, apabila orang yang berumur mendapat penyakit influenza, semua faktor ini meninggikan risikonya mengalami serangan jantung dan strok.” 

ORANG TUA YANG MEMPUNYAI FAKTOR-FAKTOR RISIKO KARDIOVASKULAR 

Di Malaysia ini, kita sebuah negara yang sedang meningkat tua dengan pantas dan sungguhpun hayat hidup manusia kini lebih panjang, namun mereka tidak semestinya hidup lebih sihat.

Menurut hasil Tinjauan Kesihatan dan Keuzuran Kebangsaan 2018 bagi orang tua yang berusia 60 tahun ke atas, 5 dalam setiap 10 orang melaporkan dirinya menghidap hipertensi (tekanan darah tinggi), 28% diabetes melitus dan 42% hiperkolesterolemia. 

Hipertensi, aras kolesterol yang tinggi, diabetes dan obesiti (kegemukan) adalah faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular (CVD). 

Menurut pakar endokrinologi Dr Azraai Nasruddin, wakil Persatuan Endokrin dan Metabolisme Malaysia, penghidap diabetes  lebih berisiko mendapat penyakit yang berpanjangan, dimasukkan ke hospital dan mati akibat influenza walaupun penyakit diabetesnya terurus dengan baik.

Beliau menambah, “Oleh sebab penghidap diabetes lebih mudah mendapat jangkitan seperti influenza dan penyakit kardiovaskular, maka mereka lebih berisiko mengalami kejadian kardiovaskular akut yang disebabkan oleh influenza.”

ORANG TUA YANG DISAHKAN MENGHIDAP PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Penyakit bawaan virus yang serius seperti influenza boleh memburukkan lagi penyakit kardiovaskular yang sedia dihidapi, misalnya penyakit arteri koronari dan kegagalan jantung. 

Keaadaan ini juga boleh menyumbang kepada serangan jantung akibat tuntutan metabolisme yang tinggi disebabkan demam, kenaikan kadar degupan jantung dan aras oksigen yang rendah di dalam darah.

VAKSINASI INFLUENZA BOLEH MELINDUNGI JANTUNG ANDA 

Selain saranan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit serta Jawatankuasa Penasihat tentang Amalan Imunisasi mengesyorkan vaksinasi influenza untuk semua orang yang berusia 6 bulan ke atas, termasuklah golongan yang sudah berpuluh-puluh tahun menghidap penyakit berisiko tinggi, misalnya penyakit jantung.

Persatuan Kardiologi Antara Amerika dan Persekutuan Jantung Sedunia telah menunjukkan hubung kait yang kuat antara influenza dengan kejadian kardiovaskular dan mereka percaya bahawa vaksinasi influenza ialah strategi yang selamat dan terbukti berkesan mengurangkan kejadian kardiovaskular.

Kajian mendapati bahawa vaksinasi influenza dikaitkan dengan pengurangan risiko berlakunya kejadian kardiovaskular yang buruk dan teruk sebanyak 34% manakala pesakit yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akut mempunyai risiko sebanyak 45% lebih rendah.

Risiko kematian sebanyak 18% lebih rendah juga dilaporkan dalam kalangan pesakit yang menghidap kegagalan jantung.

Dalam kalangan penghidap diabetes jenis 2, kajian menunjukkan bahawa vaksinasi influenza mengurangkan risiko berlakunya kegagalan jantung sebanyak 22%, strok sebanyak 30%, serangan jantung sebanyak 19% dan pneumonia sebanyak 15%.

Vaksinasi influenza tidak memerlukan perubahan kelakuan mahupun rawatan harian, tetapi mampu mencegah kejadian kardiovaskular dan juga rawatan lain yang berasaskan bukti seperti terapi statin, terapi antihipertensi dan penghentian tabiat merokok.

MENINGKAT TUA DENGAN SIHAT TANPA INFLUENZA

Apabila populasi penduduk meningkat tua dengan pantas, cabaran baharu muncul bagi setiap orang dan juga seluruh masyarakat. 

Kita akan nampak kejadian berbilang keuzuran, ketidakupayaan dan kelemahan badan yang semakin lazim. Keadaan ini menegaskan semula keperluan meningkat tua dengan sihat supaya manusia boleh menjalani kehidupan yang lebih panjang dan lebih sejahtera.

Penuaan cara sihat ialah konsep yang dipromosikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Matlamat penuaan cara sihat adalah untuk menjaga dan menambah baik kesihatan jasmani dan mental, hidup yang berdikari dan mutu hidup sepanjang hayat seseorang.

Walau bagaimanapun, penuaan cara sihat tidak bermaksud penuaan tanpa penyakit. Seseorang itu mungkin menghidap penyakit kronik tetapi penyakit yang dikawal dengan baik tidak akan begitu menjejaskan mutu hidup. 

Jika digandingkan dengan pemakanan yang berkhasiat dan senaman, imunisasi adalah salah satu tonggak untuk menggalakkan dan memelihara proses penuaan cara sihat.

Pandemik yang melanda baru-baru ini telah menyerlahkan keperluan mencegah jangkitan penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, seperti influenza, terutamanya dalam kalangan orang tua yang menghidap berbilang penyakit kronik dan ketidakupayaan.

Cara terbaik untuk melindungi diri anda daripada jangkitan influenza yang teruk adalah dengan suntikan influenza tahunan.5

Walaupun sesetengah orang yang menerima  vaksin influenza tetap akan terjangkit oleh influenza, namun beberapa kajian telah menunjukkan bahawa vaksinasi influenza mampu mengurangkan keterukan penyakit ini.5

Selain vaksinasi, penyebaran influenza boleh dibendung dengan mematuhi SOP COVID-19 seperti memakai pelitup muka, amalan membasuh tangan dengan betul, tidak mendekati orang yang kurang sihat, menutup mulut apabila batuk dan bersin serta membasmi kuman pada permukaan yang tercemar. 

Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun.

Vaksinasi influenza hendaklah diutamakan setiap tahun bagi golongan orang yang berumur, terutamanya yang menghidap penyakit kronik. 

Vaksinasi influenza boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia. Klik di sini untuk mencari klinik berhampiran anda.

Nur Farra