Siakap Keli
ftx godam
Kredit: Coindesk

Dompet Matawang Kripto FTX Didakwa Kena Godam, Lebih RM 2.8 Bilion Lesap

Tindakan pegawai daripada FTX, pengendali dompet matawang kripto ketiga terbesar di dunia meminta para pelanggannya memadam aplikasi tersebut dan tidak mengakses laman webnya buat sementara waktu menerusi Telegram mengesahkan khabar angin bahawa syarikat itu telah digodam.

Sebelum ini, FTX didakwa telah digodam menyebabkan matawang kripto bernilai kira-kira USD 600 juta (RM 2.8 bilion) lesap daripada sistem dompet digital kepunyaan syarikat tersebut. FTX juga mengumumkan syarikatnya telah bangkrup selepas pengasas yang juga bertindak sebagai CEO, Sam Bankman Fried meletak jawatan.

“FTX telah digodam. Aplikasi-aplikasi FTX kini merupakan malware. Padamkannya secepat mungkin. Ruangan chat kami sentiasa terbuka untuk anda. Jangan pergi ke laman web FTX kerana peranti anda dikhuatiri akan memuat turun virus Trojan tanpa sengaja,” berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh pentadbir akaun FTX Support Telegram.

Mesej tersebut telah dipin oleh Penasihat Am FTX, Ryne Miller.

Menurut data on-chain, pelbagai token seperti Ethereus, Solana dan Binance Smart Chain telah meninggalkan e-wallet rasmi FTX dan berpindah kepada platform pertukaran lain seperti 1inch.

Secara umumnya, kedua-dua laman web FTX dan FTX US telah terkesan daripada insiden penggodaman ini.

Sebelum ini, Miller telah membuat ciapan pada petang tadi bahawa beliau sedang menyiasat mengenai perkara-perkara abnormal yang berlaku pada pergerakan e-wallet, yang dipercayai memiliki kaitan dengan penyatuan baki FTX merentas bursa.

Bukan itu sahaja, kebanyakan pemegang e-wallet FTX turut melaporkan bahawa mereka telah melihat baki $0 dalam e-wallet FTX dan FTX US. Antara muka bagi laman FTX juga mengalami masalah, dipercayai punca terhadap masalah yang dihadapi oleh pengguna yang dinyatakan sebentar tadi

Secara umumnya, portal daftar masuk FTX masih tidak tersedia walaupun laman web tersebut masih berada di atas talian. Pengguna pula melihat paparan 503 Error ketika mereka cuba untuk mendaftar masuk ke laman tersebut.

Untuk makluman, 503 Error berlaku apabila sesebuah pelayan web tidak tersedia dan biasanya disebabkan oleh penyelenggaraan atau ketiadaan akses.

Sumber: Coindesk

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma