Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Isteri Tak Bekerja Boleh Tuntut Harta Sepencarian”, Jangan Tak Tahu, Ini 6 Hak Bekas Isteri Boleh Tuntut Selepas Perceraian

Dalam setiap perkahwinan yang dibina, tiada siapa menginginkan perkara buruk untuk berlaku. Sudah semestinya doa-doa yang baik telah diaminkan supaya hubungan perkahwinan itu kekal dari awal hingga ke akhir. Tetapi, tak semua benda yang kita mahukan di dunia akan kita dapat.

Perceraian acap kali berlaku pada mana-mana hubungan termasuk juga dalam Malaysia. Mengikut statistik, kes perceraian paling tinggi berlakunya di negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan juga Johor. Malang bagi sesetengah pihak terutama sekali bagi pihak isteri yang diceraikan, mereka tidak tahu apa yang mereka perlu lakukan dan juga hak mereka lepas cerai.

Apa Yang Isteri Dapat Lepas Cerai

Untuk korang yang tak tahu tu, ini adalah tuntutan yang boleh dilakukan oleh pihak isteri:

1) Nafkah Iddah

Sangat penting untuk korang tahu yang ni kerana ia adalah nafkah yang wajib dibayar oleh pihak bekas suami kepada bekas isterinya sendiri. Pembayaran ini perlu dibuat sepanjang tempoh iddah Raj’i yang disebabkan oleh perceraian. Nafkah itu diberi dalam bentuk makanan, tempat tinggal dan juga pakaian yang mengikut Hukum Syarak.

2) Mut’ah

Bayaran wajib yang perlu dibayar oleh bekas suami kepada bekas isterinya yang diceraikan. Tetapi, ini cuma akan ada dalam perceraian yang dilakukan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar bayaran tersebut mengikut persetujuan kedua-dua pihak. Jika tidak dapat sebarang persetujuan, kadar bayaran akan ditentukan oleh mahkamah.

3) Harta Sepencarian

Harta sebegini adalah harta yang kedua-dua pihak peroleh ketika mereka berdua masih lagi dalam ikatan perkahwinan. Bekas suami ataupun bekas isteri boleh menuntut hak harta sepencarian ini. Ia perlu dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah dahulu. Malah menurut Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli, isteri yang tidak bekerja boleh menuntut harta sepencarian atas sumbangannya secara tidak langsung. Ini termasuklah sumbangan isteri menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang suami keluar bekerja.

4) Tunggakan Nafkah Anak

Apabila bekas suami gagal untuk memberikan nafkah anak mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah, nafkah itu boleh dituntut oleh bekas isteri di mahkamah.

5) Hak Tempat Tinggal

Bekas isteri yang diceraikan berhak untuk tinggal di rumah yang biasa dia tinggal semasa dia masih dalam alam perkahwinan. Ini selama dia masih dalam tempoh iddah.

6) Tunggakan Nafkah

Sebarang nafkah yang masih lagi tidak ditunaikan oleh pihak suami kepada pihak isteri semasa dalam alam perkahwinan akan menjadi hutang. Oleh itu, pihak bekas suami wajib membayar semula nafkah itu. Ia boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.

Sebagai lelaki, jangan lah sesekali culas untuk membayar nafkah. Pihak kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk para wanita termasuk salah satunya yang dipinda secara khusus dibawah Akta Pembiayaan Kewangan. 

Akaun Si Suami Boleh Dibekukan & Potong Gaji Bulanan Jika Culas Nafkah

Pihak bank berhak membekukan akaun bank pihak bekas suami atas arahan mahkamah. Tindakan ini akan diambil sekiranya ada tuntutan nafkah di mahkamah yang tidak diselesaikan oleh pihak bekas isteri tanpa sebab yang munasabah.

Bagi pasangan yang bekerja sebagai penjawat awam pula, tindakan pemotongan gaji akan dilakukan dan disalurkan sebagai nafkah kepada pihak bekas isteri ataupun kepada anak-anak. Tindakan ini telah pun dilaksanakan selepas surat edaran dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Jangan main-main ya pasal nafkah.

Sangat bersyukur yang kerajaan sekarang mangambil kira semua aspek-aspek ni. Sedikit sebanyak nasib wanita yang telah diceraikan ni dapat dibela dan mereka tak dibiarkan hidup dalam kesusahan. Inisiatif ini diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Sambutan Hari Wanita tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Mac lalu.

Perkenalan pihak kerajaan terhadap Akta Pembiayaan Kewangan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini hanyalah satu daripada enam inisiatif kerajaan untuk memperkasakan wanita di negara kita. 

Antara lima lagi inisiatif memperkasakan wanita seperti;

  • Penubuhan Majlis Wanita Negara.
  • Perwujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual.
  • Pemantapan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah.
  • Sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di peringkat Persekutuan dan negeri.
  • Memberi kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh yang bersesuaian bagi wanita yang kematian suami untuk menyelesaikan urusan keluarga, anak-anak dan peninggalan suami.

Nor Fakhry