“Kita Tak Tahu Apa Akan Berlaku Di Masa Hadapan,” Neymar Beri Bayangan Piala Dunia Qatar Terakhir Buatnya
Bintang bola sepak Brazil, Neymar da Silva Santos Júnior atau Neymar Jr menjelaskan bahawa Piala Dunia Qatar 2022 berkemungkinan menjadi piala dunia terakhir dalam karier bola sepaknya.
Memetik laporan ESPN, penyerang berusia 30 tahun itu telah bermain sebanyak dua kali dalam Piala Dunia terdahulu dan masih belum memenangi gelaran terbaik dunia itu bersama pasukan kebangsaannya.
“Saya akan bermain seperti untuk yang kali terakhir. Saya sentiasa bercakap mengenai hal ini dengan ayah saya kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan.
“Saya tidak boleh menjamin bahawa saya bakal bermain pada piala dunia akan datang. Sebenarnya saya tidak tahu. Mungkin ya, mungkin tidak.
“Ia bergantung kepada corak perubahan kejurulatihan dan saya tidak mengetahui sama ada jurulatih itu akan menyukai saya,” katanya kepada Globo.
Tambahan lagi, Jurulatih Brazil, Adenor Leonardo Bacchi (Tite) dijangka bakal melepaskan jawatan sebagai pasukan kebangsaan itu selepas Piala Dunia Qatar dan masih belum mendapatkan pengganti.
Jelas Neymar, bila bersama dengan pasukan kebangsaan pada piala dunia kali ini, dia yakin bahawa pasukannya mempunyai peluang cerah untuk pergi lebih jauh.
“Saya mahu bermain piala dunia ini kerana saya pasti kami mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh. Walaupun ramai yang tidak percaya kepada kami, namun kami akan membuktikannya.
“Saya telah membina sejarah bersama pasukan kebangsaan dan pastinya saya mahu menamatkannya dengan baik. Saya gembira dan suka bermain bola sepak untuk menang. Saya suka menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Saya suka membantu rakan sepasukan dan itu adalah perkara utama,” katanya lagi.
Pemain kelahiran Brazil itu berharap bahawa namanya bakal terpahat dalam sejarah bola sepak.
Neymar membuat penampilan sulung bersama skuad senior Brazil seawal usia 18 tahun dan kini hanya memerlukan dua gol sahaja untuk menyamai rekod penjaring terbanyak Brazil, Pele dengan 77 gol.
Dia kini berada dalam prestasi terbaik setelah mencetak 15 gol dan 12 assist dalam 19 perlawanan bagi musim ini bersama Paris Saint-Germain.
Brazil juga tidak pernah tewas di laman sendiri sejak tahun lalu selepas kalah kepada musuh ketat, Argentina di perlawanan akhir Copa Amerika.
Untuk rekod, Brazil atau Canarinha telah bergelar juara Piala Dunia sebanyak lima kali dan kali terakhir pasukan itu memenangi trofi berprestij itu pada tahun 2002 lalu.
Sumber: ESPN