Rakaman video memaparkan aksi seorang ibu yang menaiki flying fox sambil memegang anak kecilnya seperti yang tular di media sosial akhir-akhir ini sudah diterima polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang dilapor berlaku di sebuah lokasi di daerah berkenaan.
“Pada 13 November Balai Polis Kuala Kubu Bharu telah menerima laporan polis berhubung video tular di platform media sosial.
“(Ia) memaparkan seorang wanita menjalankan aktiviti sukan lasak yang merbahaya iaitu aktiviti flying fox sambil memegang anak kecil dengan mengabaikan keselamatan anak dan dirinya yang berlaku di Kuala Kubu Bharu.
“Polis Hulu Selangor telah membuka satu kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 Pindaan 2006 bagi menjalankan siasatan terhadap individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan suspek boleh disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pindaan 2006 atas kesalahan pengabaian keselamatan terhadap kanak-kanak.
Suspek boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, orang awam juga diminta agar bertenang dan tidak gusar berhubung isu tular berkenaan.
Justeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh membuat aduan ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.
“Sebarang maklumat, pertanyaan boleh menghubungi terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223,” tambah kenyataan itu.


Sumber: Polis Daerah Hulu Selangor | Facebook