Siakap Keli
ufo dalam jerebu
Gambar: @NeecheSeTopper via Twitter

Jerebu Tebal Punya Pasal, Ingatkan UFO Rupanya Tangki Air

Jerebu Tebal Punya Pasal, Ingatkan UFO Rupanya Tangki Air

Seorang warganet di India mendakwa terlihat objek terbang tidak dikenali (UFO) di New Delhi hingga mencetuskan kekecohan di media sosial baru-baru ini, lapor First Post.

Difahamkan, warganet itu menerima gambar dakwaan UFO tersebut daripada seorang rakannya di New Delhi.

Bagaimanapun setelah diteliti dengan terperinci, struktur bulat besar seakan piring terbang UFO itu rupa-rupanya hanyalah sebuah tangki air.

Menurut First Post, tangki air itu kelihatan agak kabur dari pandangan awam dan lensa kamera kerana dek terlindung di sebalik jerebu tebal pada waktu kejadian.

Walaupun bahagian atas tiang tangki itu agak kelihatan, namun bahagian bawah strukturnya tidak dapat dilihat dengan jelas akibat jerebu, sekali gus memberikan ilusi UFO seakan berlegar di langit.

Difahamkan, India kini sedang bergelut dengan masalah pencemaran udara hingga menyebabkan pemandangan sesuatu kawasan menjadi terbatas berikutan jerebu yang mendominasi.

Hal tersebut menyebabkan beberapa struktur tertentu dilihat menjadi ‘sesuatu yang lain’ seperti yang terjadi ke atas tangki air berkenaan yang disangka UFO.

Imej itu sudah mula tular di media sosial sejak 5 November lalu dan mendapat pelbagai reaksi serta pendapat orang ramai.

Sejak gambar itu disiarkan pada minggu lepas di Twitter, ciapan tersebut telah menerima 42,000 tanda suka dan kira-kira 4,700 pengguna tweet semula (retweet) setakat artikel ini ditulis.

Dalam menerjah ruangan komen, rata-rata warganet memberikan reaksi yang lucu terhadap ciapan itu dengan emoji ketawa.

“Pembenci akan mengatakan itu sebagai Photoshop,” kata salah seorang pemberi komen.

“Ya, itu sememangnya jerebu asap yang berterbangan di udara sepanjang hari, ia akan menjadi teruk menjelang subuh dan petang,” tambah seorang lagi pengguna media sosial berkenaan.

Keadaan udara yang semakin merosot di Delhi tidak mengejutkan orang ramai, namun disebabkan oleh lapisan yang agak tebal membuatkan beberapa pejabat dan sekolah terpaksa ditutup buat masa ini.

Bercakap mengenai keadaan kualiti udara di Delhi, ia kini dilaporkan berada dalam kategori ‘sangat teruk’ selama empat hari bermula Selasa lalu.

Sumber: First Post

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.