Kebiasaannya, apabila pesakit mengalami simptom-simptom demam dan memerlukan rawatan, doktor terlebih dahulu akan meminta untuk menjalankan Ujian Urin Strip yang digunakan sebagai penunjuk awal masalah penyakit di dalam badan.
Menerusi keputusan ujian itu, doktor akan menentukan jenis masalah yang pesakit hidapi. Contohnya sekiranya pesakit mempunyai jangkitan kuman pada saluran air kencing, pesakit disarankan untuk membuat pemeriksaan lanjut.
Ujian ini turut digunakan untuk mengenal pasti kehamilan atau penyalahgunaan dadah namun hanya kaedah yang berbeza.
Mereka yang disyaki sebagai penagih dadah akan ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam tempoh 24 jam.
Dalam tempoh penahanan itu, mereka akan diminta untuk menjalankan ujian saringan dadah dalam air kencing dan sementara menunggu pengesahan bagi ujian itu, mereka boleh ditahan reman sehingga tempoh 14 hari.
Kesemua ujian pengambilan air kencing akan dilakukan oleh doktor di makmal patologi. Pihak polis hanya mengawal dan menyelia tahanan serta membantu doktor dengan mengambil air kencing mereka.
Bagi mengetahui kaedah pengambilan ujian air kencing bagi mereka yang disyaki penagih dadah, boleh ikuti perkongsian Peguam Jenayah yang tertera di bawah ini.
Tatacara mengambil contoh air kencing
Tatacara pengambilan contoh air kencing dari penagih-penagih yang disyaki adalah seperti berikut:
8.1 Contoh air kencing diambil segera selepas tangkapan
Contoh air kencing dari penagih-penagih yang disyaki hendaklah diambil seberapa segera sebaik sahaja selepas tangkapan bagi menentukan keberkesanan ujian.
8.2 Pemilihan 2 buah botol oleh penagih yang disyaki
Setiap penagih dadah yang disyaki hendaklah diberi sebanyak dua buah botol plastik kosong yang dikhaskan serta baru dan belum pernah digunakan lengkap dengan penutupnya.
Penagih berkenaan hendaklah diberi peluang memilih sendiri botol-botol plastik tersebut daripada kotak simpanannya serta ia berpuas hati dengan botol-botol tersebut berkeadaan bersih dan boleh digunakan.
Sebuah botol air kencing adalah untuk tujuan ujian awal di peringkat polis jika perlu dan sebuah lagi untuk dihantar ke hospital bagi penganalisaan.
Jika pihak polis tidak ikut prosedur yang ditetapkan ini maka tertuduh boleh lepas dari pertuduhan.
Sumber: Peguam Jenayah via Facebook