Pos Malaysia Keluarkan Setem Khas Sempena Piala Malaysia, Hargai Kerjasama Bersama MFL
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Liga Bola Sepak (MFL) mengeluarkan satu set koleksi setem pos yang mempamerkan pemain terpilih dalam TM Piala Malaysia 2022, lapor MFL.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata pengeluaran setem itu menunjukkan komitmen mereka terhadap kerjasama yang dijalankan bersama MFL.
“Ini adalah peluang hebat untuk kami memanfaatkan pangkalan peminat bola sepak tempatan untuk membina kepercayaan jenama dan kesetiaan jenama kami.
“Dalam pada itu, sambil membawa kegembiraan, keseronokan dan kegembiraan kepada permainan yang digemari oleh jutaan orang,” beliau berkata demikian semasa pelancaran setem tersebut.
Difahamkan, pengeluaran setem itu dibuat bagi memberi penghormatan kepada kelab MFL yang mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak ‘teragung’ di Malaysia.
Sebagai rakan kongsi logistik rasmi MFL, Pos Malaysia mendedikasikan edisi terhad, set folder Setem Ku sebagai memorabilia untuk peminat yang mempunyai semangat kesukanan bola sepak tempatan dan penggemar pengumpul setem.
Pelancaran itu bersempena dengan perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 26 November, di mana salah satu kelab akan dinobatkan sebagai juara utama.
Sementara itu, Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata usaha tersebut memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat bola sepak tempatan dalam mendapatkan koleksi pemain dan pasukan kegemaran mereka sendiri.
“Koleksi setem edisi khas itu dianggap sebagai bahan yang bermakna lebih-lebih lagi ia sejajar dengan TM Piala Malaysia edisi ke-96, kejohanan paling berprestij di negara ini,” katanya.
Set folder Setem Ku

Difahamkan, set folder setem akan mengandungi satu helaian daripada 16 keping setem, setiap satu daripadanya menampilkan kelab MFL yang mempamerkan imej pemain dalam pukulan aksi dan menyerlahkan warna yang diwakili oleh setiap kelab.
Antara 16 kelab yang dipaparkan pada setem merangkumi Johor Darul Ta’zim, Terengganu, Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kuching City.
Set Setem Ku mempamerkan Bergson da Silva dan Arif Aiman bagi Johor Darul Ta’zim, Faisal Halim dan Kpah Sherman untuk Terengganu FC dan Sabah FC pula Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah.
Bagi Selangor FC, Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal mewakili kelab, manakala Negeri Sembilan FC pula ialah Zaquan Adha dan Herold Goulon.
Sementara itu, Kelantan FC mempamerkan Nurshamil Abd Ghani dan Syed Sobri, manakala Kuching City FC, Yuki Tanigawa dan Shafizi Iqmal.
Dalam pada itu, set itu lengkap disertakan bersama tiga sampul surat, tiga poskad dan set folder yang direka dengan teliti yang diberikan dengan nombor siri.
Difahamkan juga, ia dikomersialkan dalam jumlah yang terhad iaitu hanya 1,800 set disediakan untuk direbut dan akan dijual pada harga RM45.00 setiap satu.
Ia boleh didapati di di kaunter Setem & Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur mulai 9 November, manakala embelian di 13 Pejabat Pos Besar lain di seluruh negara boleh didapati mulai 14 November.
Pos Malaysia Berhad (@posmalaysia) dengan kerjasama MFL, hari ini mengeluarkan satu set koleksi setem khas untuk Piala Malaysia yang memberi penghormatan kepada kelab MFL yang mengambil bahagian dalam saingan #TMPialaMalaysia2022 dengan memaparkan pemain terpilih.
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) November 8, 2022
Sumber: Malaysian Football League (MFL)