Ratusan penunjuk perasaan bantah sekatan Covid-19 di selatan China
Ratusan penunjuk perasaan di selatan China bertempur dengan polis dalam bantahan awam terhadap sekatan anti-Covid berikutan sekatan di kawasan itu dilanjutkan ekoran daripada peningkatan kes.
Menurut laporan AFP, video bantahan tersebut telah tersebar di media sosial sejak malam Isnin lalu. Video tersebut menunjukkan ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan di bandar metropolis perindustrian Guanzhou.
Beberapa orang daripada penunjuk perasaan itu telah bertindak merobohkan penghadang yang menghalang penduduk daripada keluar meninggalkan kediaman mereka.
Dalam masa sama, ada juga beberapa orang peserta penunjuk perasaan dilihat cuba memukul pegawai yang memakai sut hazmat.
“Tiada ujian lagi,” jerit seorang penunjuk perasaan dengan beberapa orang yang lain bertindak membaling serpihan botol kaca ke arah polis.
Satu video lagi menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan cuba melarikan diri dengan berenang merentasi laluan air yang memisahkan daerah terjejas Haizhu.
Daerah yang mempunyai lebih daripada 1.8 juta penduduk itu dilaporkan telah menjadi punca kepada sebahagian besar peningkatan kes Covid-19 di Guangzhou.
Terdahulu pegawai telah mengumumkan penutupan segera pertama di kawasan tersebut pada akhir Oktober lalu yang menyasarkan penutupan berpuluh-puluh kawasan kejiranan penduduk.
Pada hari Isnin lalu, perintah penutupan yang hampir meliputi hampir dua pertiga daripada daerah itu telah dilanjutkan sehingga malam Rabu nanti.
Pegawai bandar raya juga telah melancarkan ujian besar-besaran mandatori di sembilan daerah pada minggu lalu. Ujian itu dilakukan selepas bilangan kes harian dilaporkan meningkat melebihi 1,000 kes.
Bandar yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 18 juta itu juga dilaporkan menghampiri 2,300 kes pada hari Selasa dan kebanyakannya merupakan kes tanpa gejala.
China merupakan satu-satunya negara ekonomi utama yang berpegang kepada strategi sifar-Covid bagi menghapuskan kelompok virus apabila ia muncul dahulu.
Namun sekatan yang kerap dan keras telah menjejaskan ekonomi negara berkenaan.
An overnight breakout in #Guangzhou saw clashes with police as #ZeroCovid continues to come under pressure in #China. pic.twitter.com/T1dCHaGp9U
— Stephen McDonell (@StephenMcDonell) November 15, 2022
Sumber: The Sun Daily/AFP