Siakap Keli
duit syiling khas
Gambar: BNM

BNM Keluarkan Syiling Khas Sempena Ulang Tahun KL Ke-50, Boleh Buat Tempahan Sekarang

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa pihaknya mengeluarkan duit syiling khas bersempena meraikan ulang tahun Bandar Raya Kuala Lumpur yang kini usianya mencecah 50 tahun.

Difahamkan, duit syiling khas bersempena Ulang Tahun Ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur (KL50) ini dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dan duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

Kredit: BNM

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) adalah duit syiling yang mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5. Nilai pada muka duit syiling ini adalah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Bagi duit syiling terhad ini, hanya 1,000 keping ditempa.

Manakala Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) pula mempunyai berat 8.5 gram dan diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain. Secara luaran, nilai muka duit syiling ini adalah RM1 dan akan dijual pada tanda harga RM16.50 sekeping. Bagi duit syiling versi ini, sebanyak 5,000 keping ditempa.

Selain itu, duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada tanda harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Reka bahagian depan

Kredit: BNM

Bahagian depan duit syiling menampilkan latar langit Kuala Lumpur dan pengangkutan awam moden serta digandingkan dengan muka jam Bangunan Sultan Abdul Samad.

Simbolik muka hadapan syiling ini adalah untuk melambangkan peredaran zaman sejak Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada tahun 1972 dan telah menyaksikan pelbagai rentetan kemajuan dan perkembangan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden.

Bahagian belakang

Kredit: BNM

Terdapat ukiran nama BANK NEGARA MALAYSIA yang dipaparkan pada bahagian atas duit syiling untuk menunjukkan BNM sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik tersebut.

Ini juga disertai logo rasmi KL50 tetapi versi logo berwarna hanya boleh didapati pada duit syiling perak sterling. Bukan itu sahaja, bangunan Istana Budaya dan elemen daripada Taman Tasik Perdana juga ditampilkan bagi melambangkan Kuala Lumpur sebagai sebuah pusat kebudayaan dan bandar lestari.

Bagi nilai muka duit syiling tersebut, ukiran “10 RINGGIT” dan “1 RINGGIT” pula terdapat pada bahagian bawah duit syiling”.

Bagaimana untuk membuat tempahan?

Anda boleh membuat tempahan secara atas talian untuk duit syiling edisi terhad bersempena Ulang Tahun Ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur bermula pada Isnin, 14 November 2022 (11.00 pagi) sehingga Ahad, 27 November 2022 (11.00 malam).

Jika sesi tempahan mendapat sambutan hangat dan tempahan yang berlebihan melebihi kuantiti disediakan, cabutan secara rawak akan dilakukan bagi menentukan siapakan akan memiliki duit syiling edisi terhad ini.

Oleh itu, keputusan tempahan yang berjaya akan diumumkan pada 5 Disember 2022. Anda diminta untuk mnyemak keputusan tempahan anda menerusi kaedah log masuk dengan menggunakan emel berdaftar dan kata laluan.

Bagi tempahan yang gagal mendapat tempat, pembayaran balik akan dibuat dalam masa kira-kira 14 hari dari tarikh pengumuman keputusan tempahan tersebut.

Seterusnya, penghantaran secara berfasa untuk tempahan yang berjaya dijangka akan selesai dalam lingkungan 20 hari bekerja dari tarikh pengumuman keputusan tempahan.

Akhir sekali, jika anda berminat, anda boleh membuat pesanan melalui pautan https://duit.bnm.gov.my dan untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my/kl50.

BACA: BNM Dijangka Naikkan Lagi Kadar Faedah Pada 2023 – StanChart

Sumber: Bank Negara Malaysia (BNM)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma