Siakap Keli
klinik bergerak

Warga Emas Terlantar Tak Boleh Jalan, Doktor Sanggup Naik Sampai Rumah Demi Beri Rawatan

Sekumpulan doktor sukarelawan telah membuat lawatan ke rumah seorang warga emas yang terlantar akibat masalah kesihatan di salah satu PPR di Kuala Lumpur.

Dalam video dikongsikan MAPIM itu, kelihatan seorang doktor memeriksa seorang wanita warga emas yang terlantar di atas katil dipercayai menghadapi masalah pergerakan. Difahamkan, warga emas tersebut turut mempunyai masalah penglihatan dengan sebelah mata tidak dapat melihat sepenuhnya.

“Sebelah mata saya yang boleh digunakan. Saya tak mahu buat pembedahan. Biar saya guna sebelah mata saya yang mampu berfungsi dalam 30 peratus,” ujar wanita berkenaan.

Hasil pemeriksaan, doktor mencadangkan rawatan fisioterapi bagi membantu pesakit tersebut untuk pulih dan mampu bergerak seperti sediakala. Anda boleh menonton video tersebut di sini.

Kumpulan doktor tersebut merupakan sukarelawan dalam program Klinik Bergerak anjuran Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Rawatan dari rumah ke rumah diberikan buat pesakit yang mempunyai masalah mobiliti seperti golongan warga emas dan kelainan upaya.

Sejak 2021, program Klinik Bergerak itu telah banyak membantu golongan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan. Klinik yang beroperasi tiga hari seminggu itu akan menyasarkan kawasan perumahan dengan kepadatan penduduk yang tinggi di samping menghulurkan bantuan kepada kawasan terjejas banjir secara percuma.

Perkhidmatan secara percuma ini telah menyantuni lebih ratusan pesakit sejak dilancarkan. Klinik bergerak menggunakan bas dua tingkat itu juga akan hadir bagi memberi rawatan susulan kepada para pesakit yang pernah dirawat sebelumnya.

Menurut salah seorang pesakit, Hassan bin Abdul Karim, 60, beliau sangat berpuas hati dengan layanan dan khidmat yang diberikan oleh pegawai kesihatan serta sukarelawan MAPIM yang banyak membantu bagi melancarkan program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini. Seorang lagi pesakit yang disantuni meluahkan rasa kesyukuran dan berharap agar usaha itu diteruskan.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Mobile Clinic MAIWP-MAPIM kerana sekali lagi datang bagi memberi rawatan di sini. Saya berharap agar Mobile Clinic MAIWP-MAPIM akan terus berkhidmat untuk orang ramai pada masa akan datang,” ujar Ramzi Yusuf, 40.

Menurut MAPIM, program ini akan diteruskan bagi memberikan khidmat kesihatan secara percuma buat mereka yang memerlukan. Malah, jika ada keluarga atau individu yang memerlukan rawatan, anda boleh menghubungi MAPIM di talian hotline 1300-888-038 atau WhatsApp 0128002016.

Untuk orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan pula, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan MAPIM, 562263540066 (Maybank) atau infak menerusi www.bantuummah.com bagi menyokong perkhidmatan ini secara berterusan.

“MAPIM Malaysia dengan rendah hati menjemput sahabat budiman yang dermawan untuk sama menjayakan agenda peduli ummah 365 hari MAPIM Malaysia dengan misi bantuan dan jelajah khidmat untuk dalam negara. Sumbangan anda mengukir senyuman saudara yang memerlukan dan ringankan beban.

Amira

Love yourself.