Siakap Keli
Kredit: Bernama

Mustahil Tak Rugi, Mangsa Boleh Mohon 4 Bantuan Pasca Banjir Ini

“Jika kita terlibat dalam bencana banjir, apa yang terlintas di fikiran? Adakah kita bersedia untuk menghadapi kehidupan selepas banjir?”

Banjir merupakan satu bencana alam yang sering terjadi di negara-negara tropika. Negara kita, Malaysia sudah semestinya tidak dapat lari daripada menghadapi bencana ini setiap tahun. 

Setiap kali musim tengkujuh, pihak kerajaan dan penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan yang berisiko untuk banjir akan mempersiap siaga segala kemungkinan untuk mengurangkan nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh kedua-dua pihak selepas bencana.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Banjir Tahun Ini Mungkin Lebih Dahsyat Daripada Sebelum Ini

Namun, kita sudah menerima satu amaran mengenai banjir pada tahun ini berkemungkinan lebih dahsyat daripada kebiasaan.

Ini disebabkan negara kita akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan berdasarkan ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Fenomena Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu mengundang risiko berlaku hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.

Secara umumnya, pihak kerajaan telah mengeluarkan beberapa kawasan amaran kawasan-kawasan berisiko banjir dan hotspot bagi fenomena air pasang besar dan angin monsun timur laut.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sebagai contoh, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah menggariskan sebanyak 307 kawasan disahkan mempunyai risiko banjir, manakala 52 kawasan lagi merupakan hotspot banjir di seluruh negeri berkenaan.

Tindakan ini mampu membantu kita untuk menjadi lebih berwaspada dan mampu membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi musim banjir pada tahun ini.

Mangsa Banjir Tidak Akan Pernah Lari Daripada Menanggung Kerugian Pasca Bencana

Akan tetapi, cuba kita bayangkan. Jika paras air mulai naik ketika kita sudah tidur pada waktu malam ataupun taburan air hujan meningkat secara mendadak disebabkan terdapat faktor-faktor luaran lain seperti impak taufan daripada negara seberang, adakah kita masih dapat menyelamatkan barangan dan tempat kediaman kita?

Sudah semestinya, kita akan lebih mengutamakan nyawa kita terlebih dahulu. Secara logiknya, kita akan cepat-cepat menyelamatkan diri dan sudah tidak mengendahkan segala aset yang dimiliki seperti kereta, rumah, barangan elektronik dan sebagainya.

Dengan erti kata lain, mangsa banjir masih mengalami kerugian walaupun sudah melakukan persiapan rapi. Mangsa banjir perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar selepas banjir, seperti kos pembaikan aset, kos pembersihan dan sebagainya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah nasib penduduk yang tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir. Adakah kita memiliki pilihan lain yang mampu meringankan beban ditanggung selepas menghadapi kerugian hampir ribu-ribuan ringgit?

Bantuan Banjir Keluarga Malaysia Beri Peluang Untuk Bina Semula Kehidupan Selepas Bencana

Jawapannya, ada. Bantuan Banjir Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif murni daripada pihak kerajaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerugian disebabkan bencana alam ini. 

Untuk makluman, lebih daripada RM2.03 bilion bantuan sudah diperuntukkan kepada mangsa bencana termasuk banjir setakat 8 Julai 2022, di semua negeri yang terjejas pada musim Monsun Timur Laut sepanjang tempoh 2021 sehingga tahun ini.

Terdapat beberapa kategori bagi bantuan ini yang sudah semestinya mampu memberikan nafas baharu kepada kehidupan mangsa banjir selepas insiden tersebut berlaku. 

1. Baucar Automotif Keluarga Malaysia

Kereta merupakan aset yang sulit untuk diselamatkan ketika banjir melanda. Kita tidak boleh membalut kereta dengan menggunakan plastik, ataupun membawanya ke tingkat atas. Ia juga terdedah untuk menghadapi kerosakan yang begitu serius, yang sudah semestinya memakan kos pembaikan melebihi ribuan ringgit.

Jangan susah hati terlebih dahulu. Jika kereta kita mengalami kerosakan akibat ditenggelami air banjir ataupun dibawa arus, kerajaan telah memperuntukkan baucar sebanyak RM1000 untuk membaik pulih kenderaan kita. 

Jumlah ini sangat memadai dengan kadar kerosakan yang biasa dialami kereta apabila berdepan dengan masalah banjir, yang sudah semestinya bakal menelan kos yang tinggi.

2. E – Rebat Tunai Untuk Barangan Elektrik

Barangan elektrik merupakan salah satu barangan yang sukar untuk diselamatkan semasa banjir, lagi-lagi jika paras air banjir meningkat secara mendadak. Bayangkan jika rumah kita sudah mula ditenggelami air, kita sudah tidak lagi memikirkan bagaimana cara untuk menyelamatkan peti sejuk.

Sudah semestinya, setiap isi rumah akan memiliki sekurang-kurangnya satu peralatan elektrik yang rosak ketika banjir. Kos untuk mendapat satu peralatan elektrik biasanya sudah mencecah lebih daripada RM50 untuk satu unit. 

Melalui e-rebat tunai untuk barangan elektrik, kita boleh membeli peralatan elektrik yang telah rosak akibat banjir dengan jumlah sebanyak RM500. 

Jumlah bantuan ini munasabah dan mampu membantu mangsa banjir untuk mendapatkan semula peralatan elektrik yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian seperti kipas, peti sejuk, mesin basuh dan sebagainya.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

 

3. Bantuan Pembaikan/Bina Rumah

Mungkin kita boleh menyelamatkan beberapa barangan anda daripada dimasuki air banjir, tetapi kita sudah semestinya tidak dapat menghalang rumah kita daripada dimasuki air.

Air yang memasuki rumah mampu memberikan kerosakan kepada beberapa bahagian rumah seperti pintu, tingkap dan sebagainya. Ini juga bergantung pada jenis rumah yang didiami. Jika rumah kampung yang dimasuki air, sudah semestinya kos pembaikan juga tinggi.

Terdapat tiga jenis bantuan jika tempat kediaman kita mengalami kerosakan disebabkan bencana ini berdasarkan nilai kerosakan yang dialami pada rumah kita. Jika rumah kita tidak memiliki kerosakan yang serius, kita akan mendapat jumlah bantuan sebanyak RM5,000.

Bagi rumah yang mengalami kadar kerosakan yang serius, nilai bantuan akan diberikan dalam julat antara RM5,001 sehingga RM15,000. Bagi sesiapa yang tidak bernasib baik, yang mana tempat kediaman telah musnah secara sepenuhnya, mereka akan mendapat dana sebanyak RM56,000 untuk membina rumah baru.

Bantuan ini dapat memberikan sinar harapan kepada mangsa banjir, khususnya bagi mereka yang kehilangan tempat kediaman. Tempat tinggal merupakan satu keperluan paling penting bagi manusia untuk berteduh dan melindungi diri dari cuaca buruk. Inisiatif ini telah meraikan hak asasi manusia untuk memenuhi keperluan asasnya.

4. Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BBKA)

Selepas dilanda banjir, kita sudah semestinya akan mengalami masalah kekurangan barangan keperluan seperti makanan dan minuman. Kedua-duanya merupakan keperluan asas bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

Barangan sanitari dan agen pencuci juga diperlukan untuk menjaga kebersihan diri dan tempat kediaman seperti sabun, syampu, detergen, tuala wanita dan sebagainya. Mangsa banjir akan terdedah dengan wabak-wabak bawaan air jika mereka tidak dapat menjaga kebersihan dengan baik disebabkan kekurangan barangan yang dinyatakan sebentar tadi.

Secara umumnya, banyak barangan yang diperlukan oleh mangsa banjir, sama ada untuk memenuhi keperluan asas ataupun mencegah diri daripada mendapat penyakit. Namun kekurangan wang pada masa genting ini membolehkan seseorang mengabaikan diri mereka daripada mendapat keperluan yang mencukupi.

Untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan di belakang, kerajaan di bawah inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia telah memperuntukkan sejumlah dana berjumlah RM2,500 bagi satu isi rumah untuk memenuhi keperluan asas mereka sewaktu bencana.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sekarang, kita sudah mengetahui apa yang kita boleh perolehi, jika kita tidak bernasib baik untuk berdepan dengan bencana ini. Bantuan Banjir Keluarga Malaysia ini umpama penampan bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh mangsa banjir.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat-syarat bantuan, anda boleh rujuk pada pautan ini

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.