Siakap Keli
Peluru Berpandu Rusia Mendarat Di Poland
Gambar via Bernama

Nato, EU Teliti Laporan Peluru Berpandu Rusia Mendarat Di Poland

ANKARA, 16 Nov (Bernama) — Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) sedang meneliti laporan berhubung insiden peluru berpandu disyaki milik Rusia mendarat di wilayah Poland.

“NATO sedang memantau keadaan dan pihak perikatan sedang berunding rapat.

“Penting bahawa semua fakta diperoleh,” kata Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg menerusi  Twitter pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Stoltenberg turut mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa di Poland akibat insiden itu.

“Bimbang mengenai laporan letupan di Poland, susulan serangan peluru berpandu ke atas bandar-bandar Ukraine,” menurut ciapan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Twitter.

Sambil menyampaikan ucapan takziah, sokongan dan solidaritinya terhadap Poland dan Ukraine, von der Leyen berkata pihaknya memantau dengan teliti keadaan semasa dan berhubung dengan pihak berkuasa Poland serta rakan kongsi dan sekutu.

United Kingdom (UK) memaklumkan pihaknya memantau laporan itu dan berhubung dengan sekutu Warsaw dan NATO, kata Setiausaha Luar Britain James Cleverly menerusi Twitter.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam serangan peluru berpandu di perkampungan  Przewodow, timur Poland, beberapa kilometer dari sempadan Ukraine.

Perkhidmatan kecemasan dan wakil tentera menjalankan tugas di ladang pengeringan bijirin dan letupan berlaku sekitar 3.40 petang waktu tempatan, menurut Radio Lublin.

Kawasan berhampiran tapak berkenaan telah ditutup.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa