Siakap Keli
letupan gas lawas
Kredit: Astro Awani

Seorang Maut & Tiga Melecur Dalam Kejadian Letupan Paip Gas Petronas Di Lawas

Seorang maut dan tiga melecur dalam kejadian letupan paip gas Petronas di Lawas

Seorang maut dan tiga melecur dalam sebuah kejadian letupan paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang pada petang tadi, lapor Astro Awani.

Menurut laporan, pemandu jengkaut warganegara Indonesia merupakan mangsa yang maut dalam insiden itu dan tiga lagi yang tercedera adalah orang tempatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong, kejadian yang disahkan itu dipercayai berlaku pada sekitar jam 2.10 petang tadi.

“Mangsa pertama berada di dalam jengkaut dan jarak dia dengan tiga mangsa lain sekitar 200 meter,” kata Sila Kadong kepada Astro Awani ketika dihubungi tadi.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati kebocoran paip di lokasi kejadian mungkin merupakan punca letupan tersebut berlaku.

Dalam pada itu Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata pihaknya mendapat maklumat berkenaan kejadian tersebut pada jam 2.49 petang tadi.

“Pihak kita telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas ke Lokasi,” kata Hendery.

Kakitangan kontraktor pembinaan telah membawa mangsa yang tercedera ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan segera.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, pihaknya sedih dengan perkhabaran tragedi yang berlaku itu.

“Saya menyeru pihak Petronas supaya memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

“Ini adalah sesuatu yang pernah berlaku dahulu, dan saya telah meminta pihak Petronas mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berulang lagi,” kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sementara itu, pasukan bomba dan Petronas turut diarahkan menyediakan laporan awal berkenaan kejadian tersebut dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Limbang, Sebi Abang berkata, “Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian,”

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian tersebut memandangkan statusnya terkawal (setakat dilaporkan).

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.