Siakap Keli
bergaduh politik tikam kawan
Gambar: The Thaiger

Bergaduh Pasal Politik, Sanggup Tikam Kawan

Bergaduh Pasal Politik, Sanggup Tikam Kawan

Seorang lelaki sanggup menikam kawannya sendiri selepas bergaduh tentang keadaan semasa politik Thailand dan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Menurut laporan The Thaiger, suspek dikatakan marah kepada mangsa kerana kawannya itu tidak menyokong Perdana Menteri Thailand tersebut.

Kejadian berlaku di sebuah rumah kedai di Soi Prapa 2 dan jurucakap pegawai Balai Polis Marb Ta Phut menerima laporan insiden tikaman itu pada 3.30 petang hari kejadian.

Difahamkan ketika ditemui, mangsa yang berusia 52 tahun itu sedang duduk berlumuran darah di hadapan luar rumah kedainya.

Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian terus memberikan pertolongan kecemasan sebelum menghantarnya ke hospital berhampiran.

Mangsa didakwa mengalami kecederaan luka tikaman di beberapa tempat. Antaranya ialah lima kesan tikaman di badan, dua di lengan dan satu luka di kepala.

Sementara itu seorang jiran yang menjadi saksi kejadian tersebut memaklumkan kepada polis bahawa mangsa dan suspek pada asalnya sedang minum minuman keras bersama-sama di hadapan rumah kedai berkenaan.

“Mereka mula bercakap tentang politik Thai. Suspek menyokong PM, tetapi mangsa menentang pendapatnya.

“Mangsa menyuruh rakannya (suspek) pulang dan menyebabkan lelaki itu naik marah. Mereka bergaduh sesama sendiri tetapi mangsa terlalu kuat untuk rakannya itu lalu dia pun berlalu meninggalkan tempat kejadian.

“Namun suspek kembali bersama tiga lagi rakan yang lain dan mereka semua membawa pisau. Mereka memanggilnya keluar dan menyerang mangsa dengan pisau sehingga dia terjatuh ke lantai,” maklum jiran mangsa.

Pegawai polis mendedahkan bahawa mangsa kehilangan banyak darah dan dia masih berada di bawah penjagaan rapi oleh doktor.

Mangsa juga akan disoal siasat selepas keadaannya sudah pulih.

Sementara itu, pasukan polis masih lagi memburu empat pesalah yang turut sama terlibat melakukan serangan tersebut.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka