Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi telah mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bakal melanda sehingga 5 petang ini.
Amaran kali ini menunjukkan hampir keseluruhan negeri-negeri di kawasan utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia bakal menghadapi ribut petir dan hujan lebat.
Bermula dengan Kelantan, terdapat beberapa daerah yang akan mengalami ribut petir pada petang ini iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Tidak cuma itu, seluruh Terengganu diramalkan bakal menghadapi cuaca yang serupa.
Ribut petir juga diramalkan bakal berlaku di beberapa lokasi di utara Malaysia. Antara lokasi yang bakal dilanda ribut petir di Kedah adalah daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling.
Selain itu, beberapa daerah di Pahang turut bakal menghadapi fenomena yang sama seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan.
Seterusnya, Perak turut mencatatkan beberapa lokasi seperti Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar. Seluruh Pulau Pinang juga tidak terkecuali daripada menerima amaran ini.
Pada masa yang sama, hanya beberapa lokasi di Sarawak dilaporkan bakal menghadapi cuaca sedemikian iaitu Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong) dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro).
Negeri jirannya, Sabah pula mencatatkan ramalan cuaca sedemikian di beberapa lokasi iaitu Sandakan (Beluran) dan Kudat.
Berikutan ramalan cuaca ini, penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan dinyatakan dalam ramalan tersebut wajarlah berhati-hati, terutamanya ketika musim tengkujuh ini.
Tidak cuma itu, hati-hati juga kepada yang ingin keluar mengundi, semoga semuanya dipermudahkan.
AMARAN RIBUT PETIR. ⛈⛈⛈#ributpetirmetmalaysia#MenangBersama#LindungDiriLindungSemua#metmalaysia pic.twitter.com/eZjfL3Dan4
— Jabatan Meteorologi Malaysia (@metmalaysia) November 19, 2022
Sumber: MET Malaysia