Berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini akan diadakan pada 7 Disember ini.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini mengatakan hari penamaan calon ditetapkan pada tarikh baharu iaitu 24 November, manakala hari mengundi awal pula pada 3 Disember.
Selain itu, beliau juga berkata SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Rompin pada hari ini, berhubung kematian calon PN berkenaan.
“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam, 6 Dis,” katanya.
Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai akan diadakan serentak dengan susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada Rabu lepas.
Bagi hari penamaan calon PRU15 DUN Tioman itu, Abdul Ghani berkata calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.
Bakal calon baharu yang ingin bertanding pula hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon, penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan di PPC yang ditetapkan SPR.
Dalam pada itu, urusan permohonan undi pos dibuka bermula hari ini dan ditutup pada 22 November, tambah Abdul Ghani.
Maklumat mengenai sesi pilihan raya yang bakal dilangsungkan pada 7 Disember
Seterusnya, Abdul Ghani berkata bahawa pihak SPR melantik Pegawai Daerah Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek sebagai pegawai pengurus pilihan raya, manakala Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin dipilih sebagai PPC dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).
Bagi mengendalikan proses PRU15 DUN Tioman, seramai 429 petugas akan dilantik untuk bertugas di 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 tempat mengundi (saluran) dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi dua saluran awal.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 19 buah dengan 54 tempat mengundi (saluran). PRU15 Bahagian Pilihan Raya DUN Tioman ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.
Di samping itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan dirujuk semasa pilihan raya tersebut dan mencatatkan seramai 28,465 pemilih, terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. DPPR yang dijadualkan akan mula dijual pada 23 November.
Terdahulu ini, Md Yunus (61) telah meninggal dunia sekitar 3.30 pagi tadi di Hospital Rompin, dan menyebabkan sesi pengundian pada hari ini ditangguhkan pada tarikh lain.
Asalnya, DUN Tioman sepatutnya menjadi medan petempuran lima penjuru antara Md Yunus (Perikatan Nasional), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).
Sementara itu, Md Yunus juga merupakan Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 bagi Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman dan pernah bertanding di kerusi sama pada PRU14.
Sumber: Suruhanjaya Pilihan raya (SPR)