Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan pihaknya bersetuju untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.
Difahamkan perkara sedemikian dibuat setelah keputusan tiada parti peroleh majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera.
“Dengan itu, GPS telah mengambil keputusan dan tindakan tersebut demi untuk mengukuh dan menstabilkan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan itu.
Tindakan tersebut termasuk dengan membentuk gabungan koalisi PN, BN, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat.
“Menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.
“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Sementara itu Abang Jo turut menekankan mengenai autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan serta perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak.
Dalam masa yang sama, Abang Johari turut memaklumkan partinya memilih Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada kali ini.
Sumber: BERNAMA