Calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin hari ini secara terbuka meluahkan kekesalan kerana dirinya sudah cuba sehabis baik, namun ia dilihat tidak cukup bagi rakyat selepas tewas mendapatkan tempat di Parlimen Sungai Buloh.
“Saya rasa saya telah cuba yang terbaik. Tetapi saya tidak cukup baik.
“Kekalahan adalah satu kerugian, tidak kira betapa dekatnya diri dengan kemenangan atau berapa ramai yang menyatakan kekecewaan atas kekalahan yang dialami,” kata Khairy dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Beliau berkata demikian selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ramanan Ramakrishnan bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Tambahnya, beliau merasakan dirinya memerlukan rehat selepas bertungkus-lumus menguruskan wabak COVID-19 semasa menjadi Menteri Kesihatan sejak dua tahun lalu.
“Adakah ini penghujung jalan? Saya agak pasti ianya tidak. Tetapi saya ingin merenung perkara ini sebelum saya memikirkan apa patut saya lakukan seterusnya.
“Sebenarnya saya letih. Saya tidak mempunyai masa untuk berehat sejak saya diminta menguruskan wabak itu. Dua tahun yang sukar untuk saya mengemudi negara keluar daripada COVID,” ujarnya.
Namun baginya, ia merupakan satu keistimewaan yang besar untuk berkhidmat kepada negara pada masa yang kritikal dan beliau gembira Malaysia telah pulih lebih baik daripada negara-negara lain.
Pasang surut jadi ahli politik
Dalam pada itu, Khairy turut menerangkan mengenai pasang surut menjadi ahli politik, di mana prestasi ahli itu akan dinilai oleh rakyat setiap lima tahun.
“Salah satu perkara yang paling menyedihkan tentang menjadi ahli politik ialah ia disahkan secara terbuka setiap lima tahun.
“Pilihan raya adalah asas kepada mana-mana demokrasi tetapi ia juga memberitahu ahli politik sama ada mereka cukup baik atau sebaliknya.
“Sekiranya rakyat menyukai ahli tersebut atau tidak. Itu adalah hakikat yang perlu diterima apabila rakyat menganggap ahli tersebut tidak cukup baik untuk mewakili mereka,” tambah Khairy lagi.
Sementara itu, beliau turut berharap calon yang bakal dipilih sebagai Menteri Kesihatan pada masa akan datang akan bertindak dengan penuh hikmah dan belas kasihan.
“Masih terdapat ketidaktentuan yang luar biasa di negara ini. Negara memerlukan kestabilan dan kepimpinan lebih daripada sebelumnya.
“Saya doakan anda semua yang terbaik, Saya nantikan Piala Dunia di Televisyen,” kata Khairy mengakhiri ucapannya.
Sumber: Khairy Jamaluddin via Instagram