Bekas penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media hari ini berkata UMNO tidak perlu meminta sedekah sebaliknya menjadi pembangkang.
“Bila rakyat tidak memberi mandat, saya memainkan peranan sebagai pembangkang. Biarlah kami terus menjadi pembangkang dan siapa yang nak buat kerajaan silakan buat kerajaan.
“Orang yang ada kerusi yang banyak cubalah, merekalah yang buat kerajaan. Pada saya, UMNO tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah kepada sesiapa,” katanya.
Ketika ditanya, beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya UMNO masuk sebagai minoriti dalam mana-mana parti menerusi jemputan bergabung, perkara itu mestilah menetapkan Perdana Menteri daripada ahli UMNO.
Bagaimanapun, beliau juga tidak rela sekiranya UMNO bergabung hanya sebagai ‘menempel’.
“Pertama, kami lebih rela menerima mandat rakyat untuk kami hanya menjadi pembangkang dengan 30 kerusi.
“Yang kedua, pada kami pendirian sebahagian bersama daripada kami ialah kami tidak perlu merangkak kerana nak duduk dalam pilihan raya.
“Kami reda jadi pembangkang membela rakyat sebagai pembangkang yang bermaruah dan berwibawa,” jelasnya dalam sidang media itu.
Tambahnya, UMNO turut mengambil langkah yang sama untuk bersetuju menjadi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum terdahulu.
Tegas Annuar, beliau yakin sekiranya pihaknya dapat membetulkan kembali UMNO dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin baru, parti itu dapat kembali berkuasa sebagai pemerintah mutlak dalam Pilhan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sumber: Live Astro Awani