SIBU — Seorang wanita maut setelah dipercayai terjun dari tingkat lima sebuah pusat membeli-belah bangunan Sanyan di Sibu, Sarawak hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Balai Polis Sentral Sibu telah menerima makluman berhubung kejadian itu sekitar jam 2.08 petang tadi.
“Pasukan siasatan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu telah ke lokasi kejadian di mana mangsa ditemui terbaring di atas lantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa merupakan warganegara asing yang berumur lingkungan 40 tahun.
Susulan kejadian itu, mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang menimbulkan sebarang spekulasi,” jelasnya.
Sumber: Polis IPD Sibu