THAILAND – Sekurang-kurangnya seorang pegawai polis maut dalam letupan bom kereta yang berlaku di kediaman polis di wilayah Narathiwat tengah hari tadi.
Manakala, 20 orang lagi dilapor cedera dalam letupan itu.
Memetik laporan The Thaiger, seorang lelaki yang berpakaian seperti anggota polis telah dilihat memandu sebuah trak lalu memasuki kawasan tersebut, sebelum bom kereta itu meletup kira-kira jam 12.46 tengah hari.
Dalam pada itu, mangsa yang terkorban merupakan timbalan inspektor pencegah jenayah di Balai Polis Mueang Narathiwat.
Pasukan penyelamat turut dilihat bergegas membawa mangsa yang cedera, khususnya pegawai polis ke hospital yang berdekatan.
Sementara itu, pihak berkuasa segera memadamkan api yang marak dalam insiden letupan tersebut.
Susulan itu, bom tersebut dipercayai meletup di seberang jalan dari Sekolah Tinggi Narasikkhalai dan tidak jauh dari rumah gabenor wilayah.
Difahamkan, pihak polis kini masih belum dapat memastikan bahawa sama ada letupan itu berpunca daripada kumpulan pemberontak atau sebaliknya.
Terdahulu, pada bulan Jun, sekumpulan pemberontak telah merampas trak sampah dan mengebom pondok polis di wilayah Pattani hingga mengakibatkan seorang pegawai polis tercedera.
Manakala pada September pula, sebuah letupan bom di tepi jalan telah meragut nyawa seorang pegawai polis dan mencederakan empat lagi pegawai polis lain.
Sumber: The Thaiger