Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara akan diadakan pada hari esok, 24 November bagi membuat keputusan pelantikan calon Perdana Menteri ke-10.
Perkara itu dititahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenan Istana Negara menganjurkan perbincangan itu.
Baginda YDPA bertitah sedemikian menerusi satu perutusan rasmi Istana Negara seperti berikut.
“Adalah dimaklumkan bahawa proses yang tersebut di atas adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan supaya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AI-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’ in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
“Proses selanjutnya susulan daripada sesi-sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok, Khamis, 24 November 2022.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” memetik perutusan rasmi tersebut hari ini.
Berita lanjut menyusul.


https://www.facebook.com/IstanaNegaraOfficial/posts/pfbid0UdbxDXxCrEh6WeWiwvP3B2i3RNd1StRdtmJseiYT84457YguzM89Bj4aKKmerr6ql
Sumber: Istana Negara via Facebook