Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan sekatan jalan raya (SJR) atau roadblock di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara secara penugasan 24 jam bermula semalam hingga satu tarikh ditetapkan kelak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tujuan SJR tersebut dibuat adalah sebagai kesiapsiagaan bagi menjamin tahap keselamatan.
“Langkah mendirikan SJR ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan tahap ‘omnipresence’ bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.
“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan SJR akan dijalankan pada waktu puncak.
“Orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui SJR terutamanya di luar waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai untuk tidak bimbang menjalankan aktiviti harian kerana pihaknya memberi jaminan bahawa tahap keselamatan adalah terkawal.
Sebelum ini media melaporkan, Acryl Sani memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menimbulkan situasi atau sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial.
Acryl berkata tindakan tersebut dikesan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan dan orang ramai dilihat memuat naik kandungan yang dipercayai menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja.
Pesalah boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan sekiranya mana-mana pihak dilihat mencuba untuk menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS NEGARA
Sekatan Jalan Raya Sebagai Kesiapsiagaan Omnipresence. pic.twitter.com/HLiLK030i6
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) November 23, 2022
Sumber: @PDRMsia via Twitter