Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui satu hantaran di facebooknya sebentar tadi memaklumkan berkenaan ramalan cuaca signifikan di Malaysia bagi tempoh 24 hingga 30 November ini.
Melalui hantaran tersebut, MetMalaysia berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Semenanjung Malaysia sehingga 24 November ini.
Fenomena ini memiliki potensi untuk menyebabkan pembentukan garis badai yang akan mencetuskan keadaan cuaca iaitu ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sebelah pagi di pantai barat Semenanjung.
Seterusnya, mulai 25 November, angin diramalkan menjadi lemah untuk pelbagai hala. Justeru, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang diramalkan akan berlaku, terutamanya pada waktu petang.
Ia dijangka akan melanda beberapa kawasan seperti kawasan pedalaman dan pantai barat di Semenanjung, pedalaman Sarawak serta barat Sabah.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web dan semua media sosial milik Jabatan Meteorologi Malaysia dan memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

BACA: Semak Kawasan Masing-Masing, Ini Senarai 5,496 “Hotspot” Banjir Di Seluruh Malaysia
Sumber: MetMalaysia