Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Look Siew Fook mewakili partinya menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas apa-apa kenyataan yang menyinggung perasaan selama ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg di kediaman beliau di Kuching.
Jelas bekas Menteri Pengangkutan ketika era Pakatan Harapan itu lagi, pertemuan tersebut diharapkan dapat menjadi lembaran baharu untuk membina persefahaman demi negara.
“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada YAB Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.
“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.
Turut hadir bersama di kediaman Abang Johari ialah Timbalan Premier Sarawak, Senator Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang menyaksikan penyataan permohonan maaf tersebut.
https://www.facebook.com/lokesiewfook/posts/pfbid02owszzWmGUR9iRuvnQvByt8bSug7WbQzyAagB3AqjZTLoy5TjCKW7hAJbneehkJkdl
Sumber: Anthony Look Siew Fook via Facebook