Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi strategik bagi setiap daerah di seluruh negara dengan berkuatkuasa secara 24 jam bermula malam semalam.
Menurut Bernama, pihak polis antaranya melaksanakan sekatan jalan raya di Rawang, iaitu laluan menghala ke Kuala Lumpur bagi mempertingkatkan keadaan ‘omnipresence’ secara 24 jam.
Selain itu, pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya di Taman Shemelin Perkasa, Cheras KualaLumpur bagi meningkatkan keadaan ‘omnipresence’ untuk mencegah kadar kekerapan jenayah.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat beberapa lokasi lain yang turut terlibat dalam operasi sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur antaranya seperti, Jalan Sri Permaisuri di Bandar Tun Razak dan jalan sebelum Plaza Tol Gombak dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menerangkan justifikasi sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM untuk mencegah kegiatan jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau dengan lebih mudah, kehadiran polis di kawasan sekitar.
“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai agar memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang diberikan ketika menghadapi sekatan jalan raya, terutamanya ketika waktu puncak.
“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” kata kepada pihak Astro Awani.