“Mimpi Buruk Saya Jadi Kenyataan” Wanita Terkejut Mangsa Kemalangan Yang Dirawat Rupanya Anak Sendiri
Seorang paramedik Kanada berdepan dengan ‘mimpi buruk’ selepas dia tidak sedar telah merawat anak perempuannya yang sedang nazak akibat kemalangan, lapor Daily Mail.
Paramedik itu hanya menyedari mangsa merupakan darah dagingnya sendiri selepas beberapa jam kemudian.
Mangsa Montana Erickson, 17, yang berasal dari Winfield British Columbia maut selepas terlibat dalam kemalangan bersama seorang lagi rakannya pada 15 November lalu.
Difahamkan, kereta yang dinaikinya dipercayai telah hilang kawalan dan kemudiannya dirempuh oleh sebuah trak dari arah bertentangan di lebuh raya Alberta, utara Calgary.
Kecederaan remaja tersebut sangat parah sehinggakan dia tidak dapat dikenali oleh ibunya sendiri, Jayme Erickson yang cuba menyelamatkan gadis itu ketika dia terperangkap dalam kereta berkenaan.
Lebih menyayat hati, apabila lima minit pulang dari syif kerjanya, pasukan polis tiba di depan pintu rumahnya untuk memberitahu bahawa remaja yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan anak perempuannya.
Jayme telah berkongsi cerita sedihnya itu dalam kiriman di Facebook miliknya pada 18 November lalu.
“Mimpi ngeri terburuk saya sebagai paramedik telah menjadi kenyataan.
“Pesakit yang cedera parah dan baru saya rawat adalah darah daging saya sendiri. Anak tunggal saya. Anak perempuan saya, Montana,” tulisnya dalam Facebook.
“Walaupun saya bersyukur untuk 17 tahun bersamanya, namun apa akan berlaku di masa hadapan? Saya tidak lagi akan dapat melihat dia menamatkan pelajaran dan berada di atas pentas untuk hari graduasi.
“Saya juga tidak akan melihatnya berkahwin. Saya menyayanginya lebih daripada segala-galanya di dunia ini,” katanya.

Jayme juga sempat memberitahu pemberita bahawa anaknya itu merupakan seorang gadis yang sangat suka berkawan. Anaknya itu sangat menyayangi kawan-kawannya dan akan melakukan apa sahaja untuk mereka.
Sementara itu, Polis Kanada berkata siasatan lanjut berkenaan kemalangan itu masih sedang dijalankan.
Sumber: Daily Mail