Adik Kim Jong Un gelar kepimpinan Presiden Korea Selatan sebagai ‘dungu’
Adik kepada pemimpin negara Republik Korea Utara dalam kenyataannya baru-baru ini telah menggelar kerajaan pimpinan Presiden Korea Selatan sebagai ‘dungu’ dan ‘anjing setia’ kepada Amerika Syarikat, lapor United Press International (UPI).
Kenyataan itu dibuat oleh Kim Yo Jong kepada Kementerian Luar Korea Selatan pada awal minggu lalu selepas negara tersebut berkata akan mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Korea Utara.
Keputusan untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Korea Utara itu dibuat berhubung provokasi negara tersebut termasuk dalam melakukan ujian peluru berpandu balistik antara benua berkenaan baru-baru ini.
“Sebaik sahaja AS bercakap berkenaan ‘sekatan khusus’ terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), Korea Selatan kemudian mengulangi semula apa yang dikatakan oleh negara AS itu.
“Perbuatan menjijikkan ini menunjukkan bahawa Korea Selatan adalah ‘anjing setia’ dan orang suruhan kepada AS,” kata Kim Yo Jong dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea.
Republik Demokratik Rakyat Korea ialah nama rasmi bagi Korea Utara.
Minggu lalu, Pyongyang telah melancarkan ICBM dan dilaporkan mendarat sekitar 130 batu di luar pantai Jepun dan dianggarkan mempunyai jangkauan untuk sampai ke seluruh Amerika Syarikat.
Kim Yo Jong menggelar pelancaran itu sebagai ‘hak untuk mempertahankan diri’ dan menyalahkan ketegangan yang meningkat di Semenanjung Korea kepada kerajaan pimpinan Suk-Yeol.
Washington dan Seoul telah meningkatkan kerjasama ketenteraan mereka di bawah pentadbiran Yoon Suk-Yeol dengan peningkatan dalam skop dan kekerapan latihan ketenteraan bersama.
“Saya tertanya-tanya mengapa orang Korea Selatan masih menjadi penonton pasif kepada tindakan kerajaan Yoon Suk-Yeol dan orang-orang ‘dungu’ lain yang terus mencipta situasi bahaya ini.
“Seoul tidak menjadi sasaran kami sekurang-kurangnya semasa pemerintahan Moon Jae-in (bekas presiden Korea Selatan) berkuasa,” tambah Kim Yo Jong lagi.
Awal minggu ini, Amerika Syarikat menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan terhadap Korea Utara berhubung pelancaran ICBM terbarunya.
Namun usaha itu telah disekat oleh negara anggota tetap seperti China dan Rusia.
Sumber: United Press International