Acara Viu Upfront yang julung kali diadakan memperkenalkan senarai kandungan bagi tahun 2023, termasuk lima karya asli tempatan
PCCW (SEHK:0008) – KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2022 – Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau terkemuka PCCW mengumumkan lima drama Viu Original yang bakal disiarkan pada tahun 2023. Tahun selepas pasca pandemik setelah ia mendapat pengiktirafan dari pemain industri dan pengguna untuk produksi tempatannya.
Pengumuman ini telah dibuat di acara Viu Upfront yang diadakan buat julung kalinya, dengan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi media utama, rakan kongsi, pelanggan dan pihak berkepentingan dalam industri filem dan seni tanahair.
Encik Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia berkata, “Viu sudah lama ingin menganjurkan acara ini, namun terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik. Di penghujung tahun 2022 inilah masa yang sesuai kami mengadakan Viu Upfront untuk berkongsi tentang pencapaian Viu sepanjang tahun 2022 dan perancangan bagi tahun 2023 daripada sudut kandungan kepada rakan kongsi dan pihak berkepentingan di dalam industri.”
2023 akan dimulakan dengan tayangan Viu Original Nenek Bongkok Tiga yang sememangnya sangat dinantikan ramai. Drama ini merupakan kisah seram melibatkan unsur ghaib yang telahpun menjadi bualan ramai di media sosial.
Produksi bagi drama ini melibatkan pengarah terkemuka, Datuk Yusry Abdul Halim dan penerbit, Zurina Ramli yang sebelum ini menghasilkan drama Viu Original She was Pretty, sebuah drama yang meraih populariti pada tahun 2022. Nenek Bongkok Tiga menampilkan gabungan mantap pelakon baharu dan lama dalam bidang lakonan tanahair seperti Meerqeen, Sara Ali, Sofia Jane, Sherlis Merlis dan tayangannya dijangka bermula pada awal tahun 2023.
Berikutan kejayaan adaptasi K-drama Viu seperti Black dan She Was Pretty, Viu akan menghasilkan satu lagi drama adaptasi daripada sebuah drama fantasi romantik, W: Two Worlds, yang dibintangi oleh pelakon dan model, Hun Haqeem dan penyanyi, pelakon dan pengacara, Daiyan Trisha. Siri ini juga bakal diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim dan diterbitkan oleh Zurina Ramli.
Drama-drama lain daripada pelbagai genre berbeza yang akan disiarkan pada tahun 2023 termasuklah sebuah drama sains fiksyen psikologi mendebarkan bertajuk Alter-naratif, diarahkan oleh pengarah terkemuka Faizal Ishak (Isteri Misteri, Juvana, Nur Kasih) yang menampilkan pelakon-pelakon berbakat seperti Nabila Huda, Neera Azizi, Liyana Jasmay, Rahim Omar dan Gambit Saifullah.
Satu lagi adalah drama keluarga yang menonjolkan nilai cinta dan tanggungjawab, iman dan penebusan dosa yang dihasilkan oleh Eirma Fatima (Pesan Dari Tuhan, Akulah Balqis, Perempuan Melayu Terakhir) bertajuk Terlanjur Cinta. Drama Dear Karma pula dihasilkan dengan latarbelakang lokasi di Malaysia dan Jepun dan diterbitkan oleh RedComm Productions, yang cukup dikenali sebagai syarikat produksi yang menghasilkan filem hit seperti Gol Dan Gincu, Istanbul Aku Datang!, Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Kami Histeria.
Maklumat lanjut mengenai drama-drama yang disebutkan di atas boleh dirujuk di Lampiran.
Drama-drama ini dan lain-lain lagi boleh didapati di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, dan TV pintar terpilih serta laman web www.viu.com.
Imbasan 2022
2022 merupakan tahun kejayaan bagi Viu Malaysia dengan drama She Was Pretty dan Seribu Nina memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan di Anugerah Akademi Kreatif Asia (AACA) dan lain-lain anugerah. Kedua-dua drama ini merupakan antara lima drama Viu Original yang ditayangkan pada tahun 2022. Diana Danielle memenangi anugerah Pemenang Peringkat Nasional Persembahan Komedi Terbaik (Malaysia) untuk watak Nadia Rahman yang dipegang beliau dalam She Was Pretty. Selain itu, pemuzik tempatan, Amylea dan Bajai yang menghasilkan lagu Bintang menjadi Pemenang Peringkat Nasional Lagu Tema Terbaik (Malaysia) yang dimainkan dalam drama yang sama.
Pada masa sama, Seribu Nina turut merangkul anugerah Pemenang Peringkat Nasional Program Original oleh Platform Penstriman/OTT Terbaik (Malaysia). Kedua-dua karya ini akan terus mewakili Malaysia di peringkat akhir Anugerah Akademi Kreatif Asia yang bakal diadakan di Singapura pada Disember nanti.
Lampiran
Nenek Bongkok Tiga
Apabila lapan orang terjaga di dalam sebuah rumah agam yang dihuni seorang nenek bongkok tua. Tidak lama kemudian, mereka mula sedar yang mereka telah menjadi tebusan, bukan sahaja di dalam rumah tersebut dan hutan kelilingnya, tetapi juga berada di dalam dimensi yang tidak dikenali. Dengan ancaman jahat yang semakin bahaya, kelapan-lapan tebusan tersebut terpaksa memenangi siri permainan yang dicipta oleh nenek dengan harapan mereka dapat kembali ke kehidupan sebelumnya suatu hari nanti…
Membawa kembali gabungan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim dan penerbit Zurina Ramli (Viu Original She Was Pretty), Nenek Bongkok Tiga menampilkan barisan pelakon baharu dan juga yang berpengalaman di persada lakonan Malaysia, termasuk Hun Haqeem, Sara Ali, Syafie Naswip, Meerqeen, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Fimie Don, Sara Mack Lubis, Rykarl Iskandar, serta Sherie Merlis dan Sofia Jane.
Alter-naratif
Alter-naratif mengisahkan sebuah syarikat yang terkenal dengan inovasinya dalam bidang mengubah ingatan – kebolehan memadam ingatan dan menggantinya dengan kenangan tiruan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mel Isa, memperjuangkan teknologi baharu ini sebagai masa depan psikoterapi, membantu mangsa trauma membina semula kehidupan mereka. Tetapi apabila Mel mula pitam dan mengalami halusinasi, dia mula mengesyaki bahawa ingatannya sendiri telah diolah. Siasatannya mendedahkan korupsi syarikatnya sendiri dan menghidupkan kembali jenayah yang berlaku 20 tahun lalu. Tetapi siapa yang boleh Mel percayai bila beliau sendiri tidak yakin tentang identiti beliau sendiri?
Diarahkan oleh Faisal Ishak (Isteri Misteri, Juvana, Nur Kasih), drama thriller psikologi ini menampilkan para pelakon berbakat Nabila Huda, Neera Azizi, Liyana Jasmay, Rahim Omar dan Gambit Saifullah.
Terlanjur Cinta
Demi menyelamatkan abangnya, seorang penagih dadah bernama Salleh, dari penjara dan menyelamatkan keluarganya dari belenggu kemiskinan, Hidayah menerima lamaran seorang duda tua, Pak Majid. Ini menyebabkan Hidayah mengenepikan percintaan beliau dengan rakannya, Amir. Walaupun berbeza umur, sikap Pak Majid yang berbudi bahasa dan menawan menyebabkan Hidayah jatuh cinta padanya. Walaubagaimanapun, harapan Hidayah untuk bahagia berkecai apabila Pak Majid kembali daripada kerja luarnya bersama isteri kedua. Kini, Hidayah perlu berjuang untuk mengekalkan kehidupan baharunya. Sementara itu, Amir yang menunggu Hidayah mempersoalkan dirinya, samada beliau masih berpeluang memberikan kebahagiaan kepada Hidayah.
Sebuah drama keluarga yang kuat tentang cinta, kewajipan, iman dan penebusan, Terlanjur Cinta merupakan satu karya Eirma Fatima (Pesan Dari Tuhan, Akulah Balqis, Perempuan Melayu Terakhir).
Dear Karma
Kisah ini mengenai Karma, seorang idealis yang berusaha menjadi influencer barangan kecantikan. Tanpa dijangka, beliau diterima bekerja di Jepun bersama kawannya, Bianca, seorang pelakon yang ingin memulihkan kembali imejnya yang berpasangan dengan Bob, teman lelaki dan juruvideonya yang mesra tetapi membosankan. Mereka bertiga ke Saga, Jepun, dan bertemu Sham, seorang bekas peguam yang menjadi perantis pembuat tembikar di sana. Pertembungan budaya dan personaliti mula bergolak di antara keempat-empat watak unik ini, dengan personaliti dan agenda masing-masing sewaktu perjalanan ini.
Dear Karma akan diterbitkan oleh RedComm Productions, yang dikenali dengan filem hit seperti Gol Dan Gincu, Istanbul Aku Datang!, Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Kami Histeria.
W: Two Worlds
Berikutan kejayaan adaptasi K-drama Viu seperti Black dan She Was Pretty, Viu akan menghasilkan satu lagi adaptasi drama fantasi percintaan Korea popular – W:Two Worlds.
Selepas bapa Ika (pencipta siri webtoon popular W) hilang tanpa jejak, usaha Ika mencarinya membawanya ke dalam dunia webtoon, di mana beliau menyelamatkan nyawa watak utama, Aliff. Disebabkan ini, watak Ika mula muncul di dalam cerita webtoon tersebut dan mula berfungsi sebagai realiti sebenar. Aliff sedang memburu pembunuh keluarganya sepuluh tahun lalu. Beliau mula sedar bahawa takdirnya dan Ika saling berkait, tanpa menyedari bahawa beliau hanyalah watak webtoon. Apabila dua dunia ini bertembung, bermulanya pelbagai situasi di luar jangkaan yang membawa kepada konflik dan percintaan.
W: Two Worlds dibintangi oleh Hun Haqeem dan Daiyan Trisha. Siri ini akan diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim dan diterbitkan oleh Zurina Ramli.