Siakap Keli
lelaki hidung terpanjang
Kredit: Guinness World Records

Lelaki Miliki Hidung Terpanjang, Dakwa Boleh Hidu ‘Lebih’ Dari Yang Biasa

Setiap orang dilahirkan dengan keunikan yang berbeza-beza, ada yang mempunyai kembar seiras, ada yang memiliki 11 jari namun itu tidak menjadikan mereka kurang daripada makhluk yang lain.

Mereka masih sama seperti yang lain, malah sifat istimewa itu juga membuatkan ramai yang menghargainya dengan memberi penghormatan dan penghargaan kepadanya.

Siapa sangka keunikan yang terhasil pada tubuh badan ketika lahir memberi manfaat menjelang dewasa? Salah satunya, warganegara Turkiye, Mehmet Özyürek yang memiliki hidung terpanjang di dunia, telah memegang rekod dunia bagi lelaki selama lebih dua dekad (bagi yang hidup).

Sebelum ini, tercatat dalam sejarah hidung terpanjang pernah dimiliki oleh Thomas Wedders yang tinggal di England pada tahun 1770-an.

Terdapat catatan sejarah yang menyatakan Wedders yang merupakan ahli sarkas kembara mempunyai hidung yang berukuran 19 centimeter (7.5 Inci) panjang yang luar biasa.

Lapor Guinness World Records, ramai yang menganggap hidung dan telinga akan terus membesar apabila semakin tua, namun bagi Mehmet dia menafikan mitos itu dengan menunjukkan pengukuran mengenai hidungnya pada setiap tahun.

Disebabkan mempunyai sifat unik yang lain dari orang ramai, Mehmet mengukur hidungnya untuk Rekod Dunia Guinness yang merupakan rekod rujukan, mengandungi koleksi pencapaian manusia dan dunia semula jadi.

Masuk Rekod Dunia Guinness

@guinnessworldrecords

Longest nose 👃 8.8 cm (3.46 in) – Mehmet Özyürek 🇹🇷

♬ original sound – Guinness World Records

Pertama kali hidungnya diukur adalah pada 31 Januari 2001 untuk Rekod Dunia Guinness: Primetime, Los Angeles, Amerika Syarikat. Dia melanjutkan lagi pengukuran hidungnya pada 2010 dan 2021.

Dalam masa itu, keputusan menunjukkan tiada perbezaan dalam saiz hidungnya, sebaliknya masih kekal berukuran tepat 8.8 sentimeter (3.46 inci) atau boleh disamakan dengan sekeping kad permainan.

Bagaimana rasa mempunyai hidung terpanjang di dunia?

Ramai yang ingin tahu bagaimana rasanya mempunyai hidung terpanjang di dunia. Adakah sama seperti hidung kecil biasa yang dimiliki oleh setiap orang? Sekiranya difikir secara logik, pasti akan mempunyai sedikit perbezaan.

Jelas Mehmet, apabila memiliki hidung yang besar dari biasa, deria bau akan turut berbeza.

“Deria bau saya berbeza daripada orang lain. Saya kata ‘ada bau di sini’, tetapi orang lain tidak menghidu bau tersebut.

“Saya kata anda mungkin tidak menghidunya tetapi saya boleh. Contohnya saya masuk ke rumah saya dan dapat mengetahui dengan segera hidangan apa yang dimasak,” katanya memetik Rekod Dunia Guinness.

Mungkin akan ada segelintir yang berfikir, sama sahaja seperti yang lain namun Mehmet membuktikan hidung miliknya mampu melakukan sesuatu yang luar biasa daripada yang lain.

Kredit: Guinness World Records

Pada penampilannya pada tahun 2010 di rancangan TV Itali, Lo Show Dei Record, dia menunjukkan kepada orang ramai bagaimana dirinya meniup belon menggunakan lubang hidungnya.

Genetik keluarga

Kredit: Guinness World Records

Keluarga Mehmet mempunyai hidung yang besar namun sebab di sebalik ciri tersebut masih belum diketahui oleh mereka.

“Saya menyukai ciri ini. Dunia menyukainya, Rekod Dunia Guinness menyukainya, sudah tentu isteri saya juga menyukainya.

“Ia adalah disebabkan genetik setakat yang saya faham. Tiada penjelasan oleh doktor tetapi hidung itu turut dimiliki oleh ayah saya, bapa saudara saya dan juga saya,” tambah Mehmet.

Akui dirinya sedikit terkilan apabila menerima tohmahan yang kurang baik semasa muda, Mehmet berkata lama-kelamaan dia mula menerima fizikal istimewa yang ada dalam dirinya.

“Tuhan jadikan saya begini, tiada apa yang boleh dilakukan dalam keadaan ini. Saya belajar untuk hidup tenang dengan fizikal saya,” ujar Mehmet lagi.

Sekarang, Mehmet dilihat gembira dengan keunikan yang ada dalam dirinya kerana dia berjaya menarik perhatian orang ramai apabila keluar dari rumah, malah dia turut berbangga kerana berjaya memecahkan rekod dunia.

Sumber: Guinness World Records

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.