Siakap Keli
Gambar: Arturo Teran/Daniel Hamburg via DC News Now

Pesawat Ringan Rempuh Pencawang Elektrik, Dua Mangsa Dilapor Cedera Parah

MARYLAND – Dua orang dilapor telah terperangkap selama 7 jam dalam sebuah pesawat ringan yang ‘tersangkut’ pada pencawang elektrik di Maryland pada petang Ahad.

Menurut laporan New York Post, pesawat tersebut dipercayai bertembung dengan wayar pencawang elektrik voltan tinggi antara Goshen Road dan Rothbury Drive ketika ia sudah bersiap sedia untuk mendarat di Montgomery County Airpark di Gaithersburg kira-kira 5.30 petang.

Kredit: Arturo Teran

Dalam pada itu, juruterbang dan penumpang telah berjaya diselamatkan kira-kira 12.30 pagi dan telah dibawa ke hospital untuk dirawat akibat mengalami kecederaan parah.

Selain itu, mangsa turut mengalami trauma serta hiportemia akibat insiden tersebut.

Walaupun kedua-dua mangsa berada dalam situasi yang membahayakan sewaktu mereka dilihat tergantung kira-kira 100 kaki di atas pencawang, namun mereka kini berada dalam keadaan yang stabil, lapor ketua jurucakap Perkhidmatan Bomba & Penyelamat, Pete Kata Piringer.

Susulan kejadian itu, puluhan ribu penduduk di kawasan berkenaan telah terputus bekalan elektrik pada malam Ahad.

Gangguan elektrik secara berleluasa di Montgomery County itu telah menjejaskan sebanyak 85,000 hingga 90,000 rumah dan premis perniagaan.

“Lebih 125 lampu isyarat tidak berfungsi, dua hospital terpaksa beroperasi dengan mengehadkan kapasiti dan banyak lif dilihat turut terjejas,” kata ketua jurucakap tersebut.

Namun semuanya dilapor telah kembali pulih sekitar pukul 1.30 pagi.

Sementara itu, ketua bomba Montgomery, Scott Goldstein berkata anggota kecemasan dilihat cuba berhubung dengan dua mangsa yang berada di dalam pesawat berkenaan, namun usaha tersebut gagal apabila kabel elektrik dimatikan.

“Untuk memastikan tiada elektrik statik atau sisa elektrik yang boleh membahayakan pasukan penyelamat serta mangsa, kru perlu terlebih dahulu mengikat wayar dengan pengepit dan kabel tersebut.

“Pasukan penyelamat kemudiannya dapat mematikan elektrik kira-kira jam 11.30 malam,” tambah ketua bomba itu dalam sebuah kenyataan.

Kredit: Daniel Hamburg via DC News Now

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan berkata pihak mereka akan menyiasat punca nahas itu.

Kredit: Arturo Teran

Sumber: New York Post

 

Farah Nabilah