Seorang guru disahkan meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta berikutan kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di KM14, Jalan Lama Papar, Kota Kinabalu pada Ahad baru-baru ini.
Mangsa, 56 tahun merupakan penumpang bersama dua orang lagi masing-masing berumur 42 tahun (pemandu) dan seorang lagi penumpang berumur 31 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Papar, DSP Kamaruddin Ambo Sakka, kejadian berlaku kira-kira pada pukul 3:30 petang di mana Perodua Aruz dipandu oleh seorang guru bersama dua penumpang yang menuju ke Kota Kinabalu dari Membakut telah hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Proton Satria di laluan bertentangan.
Difahamkan, Proton Satria itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 26 tahun yang ingin menuju ke Kampung Nagapas dari Kota Kinabalu.

“Akibat rempuhan, Aruz itu terbalik banyak kali menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak keluar dari kereta melalui pintu penumpang.
“Mangsa tercampak kira-kira sejauh 12 meter menyebabkan dia mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Papar, kata Kamaruddin.
Dalam kenyataan yang sama, beliau berkata bahawa mangsa (arwah) dibawa ke Unit Forensik hospital untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang lain dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, 11 anggota diketuai Pengawai Kanan, Sulaiman Menin bergegas ke tempak kejadian selepas menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut.
Sebaik sahaja tiba, pasukan tersebut segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan menghantar mereka ke hospital.
Sumber: Daily Express