Siakap Keli
Kredit Qilai Shen/Bloomberg

Protes Besar-Besaran Rakyat, China Akhirnya ‘Mengalah’ Longgarkan Sekatan Covid-19

China longgarkan sekatan Covid-19 berikutan protes besar-besaran penduduk

China mula memberikan isyarat dalam pendiriannya menangani wabak Covid-19 apabila negara itu mula melonggarkan beberapa sekatan walaupun mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi, lapor BBC.

Puluhan daerah di bandar Shanghai dan Guangzhao yang sebelum ini mencatatkan peningkatan kes harian telah mula dibebaskan daripada ‘lockdown’ pada hari ini.

Menurut laporan BBC lagi, naib perdana menteri negara itu juga telah mengumumkan bahawa negara tersebut sedang menghadapi “situasi yang baharu”.

Tindakan itu diambil susulan protes besar-besaran yang dilakukan rakyat negara berkenaan terhadap dasar sifar-Covid yang dikuatkuasan secara tegas sebelum ini.

Pergolakan tercetus selepas satu kebakaran berlaku di sebuah blok bertingkat di wilayah barat Xinjiang yang mengorbankan seramai 10 orang pada minggu lalu.

Ramai orang China percaya sekatan Covid yang berpanjangan di bandar itu menyumbang kepada kematian tersebut.

Difahamkan kesan daripada kejadian itu telah membawa kepada protes besar-besaran yang meluas di pelbagai daerah dan bandar selama beberapa hari.

Sekatan di bandar utama seperti Guangzhao telah ditarik balik secara tiba-tiba pada hari Rabu, beberapa jam selepas bandar itu menyaksikan protes ganas satu pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan.

Sementara itu sebuah komuniti di ibu kota Beijing juga membenarkan mereka dengan simptom Covid yang ringan diasingkan sahaja di dalam rumah.

Ia nampaknya berbeza dengan protokol pada awal tahun ini yang menyaksikan seluruh bangunan dan komuniti dikunci hanya disebabkan satu kes positif.

Bandar utama lain seperti Shanghai dan Chongqing juga menyaksikan beberapa peraturan sekatan telah dilonggarkan.

Kelonggaran itu diumumkan oleh seorang pegawai kanan China, Sun Chunlan yang mendakwa keupayaan virus berkenaan untuk merebak kini kian melemah.

“Negara ini sedang menghadapi situasi baharu dan tugas baharu dalam pencegahan dan kawalan wabak apabila patohenik virus Omicron semakin lemah.

“Bilangan orang ramai yang menerima suntikan vaksin telah membendung daripada virus itu merebak,” kata Sun Chunlan.

Tindakan baharu itu berbeza dengan pesanan awal daripada pihak berkuasa bahawa negara akan mengekalkan dasar sifar Covid yang ketat.

Bekas editor media negara Hu Xijing yang kini merupakan pro-Komunis menulis dalam Twitter miliknya bahawa langkah itu menunjukkan China kini “mengetepikan sekatan berskala besar”.

Berikutan kelonggaran beberapa langkah sekatan di banyak bahagian di Guangzhao, Lijin Hong, seorang Profesor Madya di Universiti Sun Yat-sen berkata “Ia akan mengambil sedikit masa untuk bandar itu pulih. Namun begitu, sangat mengagumkan untuk melihat bandar Guangzhao sekali lagi,”

China dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini merekodkan jumlah kes Covid harian tertinggi sejak wabak itu bermula dengan mencatatkan lebih 36,000 kes pada semalam.

Bagaimanapun, jumlah itu masih kecil bagi negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.4 bilion orang itu.

Secara keseluruhan, seramai 5,200 orang telah terkorban sejak kemunculan awal penyebaran wabak tersebut.

Jumlah tersebut bersamaan dengan tiga kematian Covid dalam setiap satu juta penduduk di China, berbanding dengan 3,000 orang per juta penduduk di Amerika Syarikat dan 2,400 per juta orang penduduk di United Kingdom.

Sumber: BBC

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.