Kemarau pada 2021 sebabkan beberapa kawasan di dunia semakin kering
Lebih 3.6 juta orang dilapor tidak mempunyai akses kepada bekalan air yang mencukupi dan sebahagian besar kawasan di dunia kini dipercayai semakin kering, lapor United Press International.
Laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) mendakwa bahawa banyak kawasan di seluruh dunia telah kering daripada kebiasaanya pada tahun 2021 lalu.
Difahamkan laporan berkenaan dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kejadian banjir, kemarau dan aliran sungai di seluruh dunia.
Menurut Setiausaha Agung WMO Petteri Taalas, corak hujan yang berlaku juga dipengaruhi oleh perubahan iklim dan peristiwa La Nina.
“Kesan perubahan iklim sering dapat dilihat menerusi keadaan iklim seperti kemarau yang lebih teruk dan kerap, banjir yang lebih melampau, hujan bermusim yang tidak menentu dan pencairan glasier yang cepat.
“Perubahan ini memberi kesan kepada ekonomi dan semua aspek kehidupan kita.
“Namun, pemahaman terhadap perubahan dalam pengedaran, kuantiti dan kualiti sumber air tawar masih tidak mencukupi,” katanya seperti yang dilapor United Press International.
Berdasarkan laporan itu lagi, kawasan Bumi dengan aliran sungai di bawah kadar purata adalah dua kali lebih besar daripada kawasan di atas purata jika dibandingkan dengan kadar purata dalam tempoh 30 tahun.
Difahamkan beberapa kawasan kering seperti di Rio de l Plata di Amerika Selatan serta lembangan sungai Colorado, Missouri dan Mississippi di Amerika Utara dilapor telah mengalami kemarau sejak 2019 lagi.
Selain itu, penyimpanan air terestrial atau air yang disimpan secara semula jadi dalam kanopi, salji, ais dan di bawah permukaan (tanah) berada pada paras kadar purata berbanding tempoh antara 2002 hingga 2020.
Amerika Syarikat Barat, Amerika Selatan Tengah, Patagonia, Afrika Utara, Madagascar, Asia Tengah dan Timur Tengah seperti di Pakistan dan India Utara adalah antara negara dan kawasan yang dipercayai mempunyai kadar simpanan air yang rendah.
“Secara keseluruhan, trend negatif lebih kuat berbanding daripada trend positif,” kata laporan itu lagi.
Sumber: United Press International