Keluarga di Indonesia saman kerajaan berikutan kematian disebabkan ubat sirap
Beberapa keluarga di Indonesia dilapor bertindak menyaman kerajaan berikutan kecederaan dan kematian ahli keluarga mereka akibat pengambilan ubat sirap batuk disyaki tercemar dalam kejadian sebelum ini, lapor AFP menerusi CNA.
Menurut tuntutan mahkamah, selain menyaman kerajaan keluarga mangsa yang terlibat juga turut menyaman syarikat pembekal ubat tersebut.
Salah seorang wakil keluarga mangsa, Awab Puryadi menegaskan bahawa tindakan sedemikian diambil kerana pihak berkuasa telah gagal menghalang penjualan ubat-ubatan berbahaya, hingga menyebabkan kecederaan dan kematian kanak-kanak.
“Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab. Mereka sangat kecewa dengan keadaan semasa.
“Kami menuntut… Pembekal ubat, farmasi, BPOM (agensi makanan dan ubat) dan kementerian kesihatan untuk bertanggungjawab,” kata Puryadi kepada AFP hari ini mengenai tuntutan mahkamah yang difailkan pada 18 November lalu.
Menurut sumber peguam, keluarga mangsa meminta pampasan sebanyak 2 bilion rupiah atau bersamaan RM560,000 bagi setiap orang yang terkorban dan sekitar RM280,000 bagi setiap orang yang cedera.
“Dua keluarga yang tersenarai dalam tuntutan mahkamah sedang menjalankan tindakan undang-undang bagi pihak sejumlah 12 keluarga dan lebih ramai lagi boleh menyertai tuntutan itu pada masa hadapan,” kata Puryadi lagi.
Difahamkan tuntutan itu dibuat kepada Kementerian Kesihatan (Indonesia), agensi makanan dan ubat negara serta tujuh syarikat yang terlibat dalam penjualan ubat sirap tersebut.
Seperti yang dilapor CNA, ubat itu didakwa mengandungi jumlah dua kompaun berlebihan yang digunakan dalam produk industri seperti antibeku.
Difahamkan negara terbesar Asia Tenggara itu menyaksikan peningkatan angka dalam kes kerosakan buah pinggang akut sejak Ogos lalu.
Berdasarkan anggaran, sehingga kini angka kematian yang dicatatkan adalah sekurang-kurangnya 199 orang dan kebanyakannya merupakan golongan kanak-kanak.
Masalah itu telah mendorong kerajaan untuk menjalankan siasatan dan larangan ke atas beberapa penjualan ubat cecair berkenaan.
Merujuk CNA, polis Indonesia telah melancarkan siasatan ke atas sekurang-kurangnya tiga syarikat yang mempunyai lesen dalam mengeluarkan ubat sirap dan operasinya telah dibekukan buat sementara waktu.
Di Afrika Barat, Gambia merekodkan 70 kematian pada Oktober yang disyaki berpunca daripada ubat sirap yang diimport.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia telah menemui “jumlah yang tidak boleh diterima” dietilena glikol dan etilena glikol dalam empat sirap batuk buatan daripada India.
WHO juga memberi amaran bahawa ia boleh dikaitkan dengan kematian yang berlaku.
Sumber: CNA