Seorang lelaki berkongsi kisah seorang cashier KFC yang paling disukainya kerana dikatakan memiliki peribadi mulia.
Buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Betullah kata orang, kalau kita berbuat baik, orang lain akan mengenang jasa yang pernah kita lakukan.
Tidak kisahlah sama ada melalui layanan, perbuatan atau sikap daripada sehalus kuman hingga ke sebesar gajah, orang akan menilai baik buruk kita.
Justeru, dalam apa-apa perkara yang kita lakukan, disertakan dengan niat dan hati yang baik dengan harapan perjalanan hidup kita akan selalu diberkati dan dipermudahkan.
Baru-baru ini, pemilik akaun Facebook, Alip Hamid berkongsi tentang seorang juruwang yang bekerja di sebuah syarikat makanan segera yang berkeperibadian murni dengan cara layanannya yang baik terhadap pelanggan.
Menurut Alip Hamid, gadis itu merupakan juruwang yang paling ‘best’ pernah dia kenal kerana perwatakannya yang sangat lembut dan sentiasa melayan pelanggan dengan baik.
Tulisnya, “Ni lah cashier KFC yang paling best yang aku kenal. Sangat lemah lembut dan halus suaranya. Sentiasa manis muka walau barisan panjang sampai ke luar,”

Tidak dinafikan memang ada pekerja yang bersifat sedemikian, namun bukan semuanya mampu menjadi ‘sesempurna’ sebegitu. Lebih-lebih lagi yang sabar melayan karenah pelanggan yang datang.
Kita sedia maklum, sikap sesetengah pelanggan macam mana. Ada yang berkeinginan itu dan ini, sehingga menjadikan pekerja seperti ‘robot hidup’ yang mampu ‘makbulkan’ permintaan mereka segera.
“Tak pernah kecewakan customer bila customer mintak bahagian-bahagian tertentu. Mesti dapat! Kalau bahagian yang customer mintak tu takde, dia tanya customer boleh tunggu sekejap tak untuk dapur masak yang baru.
“Kalau pergi KFC ni je mesti aku beratur kat kaunter dia. Pernah sekali tu set aku diorang letak ayam kecik, dia asingkan ayam yang kecik tu (tak boleh jual), dia letak ayam baru yang lebih besar dalam set aku,” tambahnya.
‘Dari Selamat Datang dah bertukar ke Assalamualaikum dan Selamat Datang’
Menurut Alip Hamid juga, gadis itu dahulunya dikenali sebagai Ming Ming dan dipercayai telah lama bekerja di KFC tersebut.
Bagaimanapun kini, gadis itu lebih ramah disapa dengan nama baharunya iaitu Nurain Abdullah kerana dikatakan sudah berhijrah dan memeluk Islam.
“Punyalah lama dia jadi cashier kat sini. Dari aku baru berhijrah ke Melaka sampai sekarang. Dari aku bujang sampai dan beranak pinak.
“Dari dia tak bertudung sampai dah pakai handsocks. Dari ‘Selamat Datang’ dah bertukar ke ‘Assalamualaikum dan Selamat Datang’. Dari nama dia Ming Ming sekarang dah jadi Nurain Abdullah. Subhanallah..”
Perkongsian Alip tersebut tular dan meraih pelbagai maklum balas warganet, rata-ratanya turut sama memuji peribadi juruwang berkenaan.
Malah dalam masa sama, ada juga warganet lain yang pernah datang ke restoran berkenaan menceritakan perkara serupa mengenai penghijrahan juruwang bernama Nurain Abdullah tersebut.
Sumber: Alip Hamid | Facebook