Seorang lelaki pijak kepala anjing 15 kali selepas buang najis di atas lantai
Seorang lelaki di Wigan, England ditahan polis berikutan video rakaman yang menunjukkannya sedang memukul dan memijak anjing peliharaannya tular di media sosial, lapor Metro UK.
Suspek yang berusia 23 tahun itu dilihat memukul anjing yang diberi nama Congo dengan kejam ekoran haiwan tersebut membuang najis di atas lantai rumahnya.
Berdasarkan rakaman, suspek dilihat memijak anjing tersebut sebanyak 15 kali dengan kuat sambil menjerit ‘apa yang kamu buat?!’, selain memegang kepalanya yang sudah tidak berdaya dan menghempasnya ke lantai.
Video rakaman perbuatan kejam itu telah dihantar kepada RSPCA pada bulan April lalu oleh orang awam.
Pekerja badan amal haiwan Inspektor Ryan King terkejut selepas menonton video berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘paling teruk’ yang pernah dilihatnya.
“Video itu menunjukkan seorang lelaki duduk di atas sofa, memerhati anjing peliharaannya jenis baka ‘bulldog’ sedang membuang najis di atas lantai.
“Lelaki itu kemudian berdiri dan terus memijak anjing itu dengan kakinya sebanyak 15 kali dengan kuat, sambil menjerit “Apa yang kamu lakukan“.
“Lelaki itu seterusnya mencapai anjing yang terbaring atas lantai lalu memegang kepalanya dan menghempasnya ke atas lantai semua dengan kuat,” kata Ryan King menceritkan tentang video tersebut.
Beliau juga mengatakan bahawa video tersebut merupakan penderaan yang paling teruk pernah dilihatnya selama tiga tahun bekerja sebagai inspektor di RSCPA.

Congo juga telah dibawa ke hospital haiwan RSCPA untuk diperiksa. Haiwan itu bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang serius.
Namun doktor haiwan yang menjalankan pemeriksaan ke atas Congo memberitahu bahawa anjing itu akan mengalami ‘ketakutan, kesusahan dan kesakitan’ disebabkan serangan berkenaan.
Secara keseluruhannya, Congo didapati telah menerima sebanyak 21 serangan pada perut, dada dan kepalanya.
Dalam masa sama suspek didakwa telah menyebabkan penderitaan kepada haiwan berkenaan dan tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2006.
Sehubungan itu Mahkamah Majistret Wigan menjatuhi hukuman penjara selama 16 minggu kepada suspek dan dia juga telah hilang kelayakan daripada memelihara haiwan peliharaan selama 10 tahun.
Selain itu, dia juga perlu menjalani aktiviti pemulihan selama 20 hari, melakukan pekerjaan 120 jam tanpa gaji, membayar kos mahkamah sebanyak RM11,267 dan surcaj mangsa sebanyak RM528.
Manakala Congo pula dilaporkan telah diserahkan kepada RSCPA dan akan diberikan kepada mereka yang ingin mengambilnya sebagai anjing peliharaan.
Sumber: Metro UK