Siakap Keli
Gambar: The Guardian

Peru Isytihar Darurat Kesihatan Susulan Penyebaran Wabak Selesema Burung

Peru Isytihar Darurat Kesihatan Susulan Penyebaran Wabak Selesema Burung

Agensi Kesihatan Agrikultur Negara Peru (SENASA) mengisytiharkan darurat kesihatan negara pada Rabu susulan penyebaran wabak selesema burung H5N1, lapor Nation World News.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh pihak berkuasa, mereka memutuskan untuk mengisytiharkan kecemasan di seluruh negara susulan penyebaran wabak selesema burung yang sangat membimbangkan selama 90 hari.

Punca penularan wabak H5N1 itu dikenal pasti datang dari ladang yang terletak di Lambayeque dan Lima.

Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular

“Risiko utama yang wujud ialah penularan burung ke burung. Virus ini sangat membahayakan, itu kebimbangan kami,” kata ketua SENASA, Jorge Mantilla kepada pemberita.

Oleh sebab itu, Peru dan Ecuador mengisytiharkan darurat kecemasan kesihatan akibat wabak selesema burung H5N1.

Memetik Nation World News, SENASA mengeluarkan amaran kesihatan selama 180 hari bermula Khamis lalu selepas tiga kes selesema burung H5N1 disahkan dalam burung unggas.

Menurut para saintis, penyakit tersebut disebarkan oleh burung liar yang datang dari Amerika Utara ke Patagonia.

Agensi Perhutanan dan Hidupan Liar (SERFOR) berkata bahawa sebanyak 13,869 burung laut dan 10,257 burung unggas mati akibat selesema burung H5N1 di sebahagian pantai dan kawasan semula jadi yang dilindungi di sempadan Ecuador, Piura.

Baca: “Asalkan Ada Kerja,” Hakikat Graduan Perlu Hadam, 5 Tahun Grad Tapi Masih Kerja Tak Ikut Bidang, Gaji Tak Setimpal

Malah, puluhan ekor burung unggas, burung camar dan burung hantu turut ditemui mati di selatan Lima, pantai La Encantada dan pantai Venetia.

Briged SENASA bersama pasukan biosekuriti mengumpul bangkai burung-burung tersebut dan memasukkannya ke dalam beg plastik hitam untuk ditanam.

“Kami menjumpai banyak burung mati selepas pergi beberapa kilometer di pantai,” kata seorang anggota briged kepada AFP.

Sementara itu, pakar SERFOR, Walter Silva berkata, wabak pertama selesema burung di benua Amerika berlaku di Kanada pada tahun lepas dan virus tersebut dikesan di AS pada Januari 2022, menjejaskan pengeluaran ayam.

Menurutnya lagi, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB telah menyatakan kebimbangannya dan mengeluarkan amaran bahawa dengan kehadiran burung, penularan itu boleh merebak ke Amerika Tengah dan Selatan.

Selesema burung merupakan penyakit yang tidak mempunyai rawatan dan penawar, ia menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada burung liar dan domestik seperti itik, ayam, ayam belanda dan seumpamanya.

Sumber: Nation World News

Noorliyana Ishak