Gunung Semeru Dilapor Meletus Lagi, Penduduk Terpaksa Dipindahkan
INDONESIA – Gunung Berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur dilaporkan telah meletus semula dan telah menghamburkan debu panas ke udara, hari ini.
Memetik laporan AFP, pihak berkuasa telah mengeluarkan status amaran tahap tertinggi yang menyebabkan penduduk tempatan terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Menurut Pusat Vulkanologi dan Pencegahan Bencana Geologi (PVBMG), tahap ancaman gunung berapi yang telah meningkat memberi kesan yang sangat bahaya dan mampu mengancam penempatan penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan.

Jurucakap agensi PVBMG itu juga menasihatkan supaya penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi tersebut agar tidak melalui kawasan berdekatan gunung berapi itu.
Selain itu, tempat perlindungan turut disediakan oleh pihak berkuasa kepada penduduk tempatan yang terlibat.
Kebanyakan mangsa yang dipindahkan terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak, lapor media tempatan.
Sementara itu, jurucakap Agensi Tebatan Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari berkata bahawa timbunan lava di puncak gunung berapi setinggi 3,676 meter tergelincir ke bawah selepas letusan.
Bukan itu sahaja, rakaman video yang tersebar di media sosial turut memaparkan asap tebal yang keluar dari Gunung Semeru dan awan hitam dilihat telah melitupi sebuah kampung.

Susulan kejadian tersebut, capaian internet di kawasan tersebut telah terputus, manakala isyarat telefon pula mengalami sedikit gangguan.
Agensi penyelamat tempatan telah mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada penduduk tempatan susulan udara yang kian tercemar di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, jambatan penghubung antara dua daerah di kawasan tersebut yang telah dibina selepas kejadian letusan gunung berapi tahun lepas dilihat mengalami kerosakan semula pada Ahad.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan setelah gunung berapi tersebut meletus.
Imbas kembali, Gunung Berapi Semeru pernah meletus pada tahun lalu dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 51 orang, malah lebih 5,000 rumah musnah akibat kejadian letusan itu.
Bencana itu turut menyebabkan seluruh jalan dipenuhi lumpur dan hampir 10,000 penduduk terpaksa mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.
Sumber: AFP