Siakap Keli
Tangkap Ikan Tuna Seberat 90 Kg
Gambar: Die Hard Fishing | YouTube

Pemancing Bergelut 35 Minit Tangkap Ikan Tuna 90 Kg

Sekumpulan pemancing terpaksa bergelut selama 35 minit demi untuk menangkap seekor ikan tuna sirip biru seberat 90 kilogram (kg) dalam kejadian di luar pantai San Francisco, US baru-baru ini, lapor Daily Star.

Salah seorangnya yang dikenali sebagai Adam Irino, 30 tahun dilapor terpaksa meminta bantuan daripada tiga orang pemancing lain untuk membantunya bergelut dengan tuna gergasi itu.

Malah, Adam yang berasal dari San Jose, California itu tidak menafikan bahawa pergelutan selama 35 minit untuk mengangkat ikan sepanjang lima kaki ke dalam bot mereka merupakan salah satu pengalaman yang paling epik dalam hidupnya.

Difahamkan, mereka terpaksa bergilir-gilir untuk mengangkut ‘raksasa akuatik ke-14’ berkenaan supaya tidak rugi jika ia terlepas, sebelum dibahagikan kepada bahagian masing-masing untuk dipotong dan dimakan.

“Saya tidak pernah melihat ikan sebesar itu dalam hidup saya. Saya kagum dengan saiz seperti itu. Ikannya besar sungguh.

“Ikan itu kuat sangat! Saya hampir tertarik masuk ke sungai malah kami terpaksa ambil masa yang lama nak mengangkatnya ke dalam bot,” kongsinya kepada pemberita.

Ikan Seberat 90kg
Gambar: Die Hard Fishing | YouTube

Menurut Daily Star, tuna sirip biru itu berhijrah dalam jarak yang sangat jauh di lautan dan biasanya, berat biasa bagi spesisnya hanyalah sekitar 59 kg sahaja.

Bagaimanapun, ikan tersebut boleh mencapai saiz maksimum iaitu sepanjang 10 kaki dengan berat sekitar 450 kg (1,000 paun).

Sebelum ini, daging ikan itu dijual dengan jumlah yang tinggi akibat kemunculannya yang jarang dikesan selama setengah abad, tetapi ia dikatakan muncul semula di San Francisco Bay Area sejak lima tahun yang lalu.

Sementara itu, Adam turut berkongsi pengembaraan memancingnya yang menakjubkan itu di saluran Youtube  Die Hard Fishing”.

Dalam perkongsiannya, Adam menambah, “Tuna sirip biru adalah ikan yang gila. Saya telah memancing di kawasan teluk selama 20 tahun tapi tak pernah langsung jumpa tuna sirip biru ini.

“Malah, tiada sesiapa yang tahu kemunculan ikan itu sehingga kira-kira lima tahun yang lalu apabila ia mula masuk ke kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, kini orang awam boleh ‘melihat’ semula kemunculannya di perairan sekitar situ pada setiap tahun dan Adam berpendapat, tuna sirip biru yang dijumpainya adalah ikan bersejarah di teluk tersebut.

Hal itu dibuktikan melalui beberapa gambar hitam-putih (gambar lama) yang menunjukkan orang membawa tuna sirip biru itu ke kawasan pelabuhan.

“Nampaknya ini merupakan satu perkara baharu bahawa tuna sirip biru, spesies air sederhana panas, ditangkap di perairan gelap dan lebih sejuk yang kita ada di kawasan teluk,” tambahnya.

Sumber: Daily Star

 

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.