Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengizinkan rakyat untuk melontarkan segala kritikan terhadap dirinya atau kerajaan di bawah pimpinannya.
Anwar berkata demikian semasa mengulas tentang keabsahan keputusan pelantikannya menjadi Perdana Menteri yang dikatakan menjadi pertikaian sebelum ini.
“Jadi saya rasa sudah sampai ketikanya untuk menerima kenyataan ini dan jangan mempertikaikan kuasa dan kebijaksanaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Ini tidak menghalang usaha-usaha lain mengikut jalur parlimen dan demokrasi untuk menolak dan sebagainya tetapi untuk mempertikaikan keabsahan tidak sesuai.
“Dan ini terkait juga dengan keputusan pihak keselamatan khususnya PDRM untuk melakukan siasatan.
“Saya ingin bezakan, pertama ia bukan arahan daripada Perdana Menteri ataupun kerajaan, ini adalah ketetapan dalam perlembagaan dan kenyataan tegas oleh Raja-raja Melayu yang buat kenyataan tentang kewaspadaan terhadap memainkan sentimen perkauman dan juga sikap pelampau agama.
“Ini tidak boleh disamakan dengan kritikan kepada PM dan kritikan kepada kerajaan.
“Saya tidak pernah mengarahkan, malah memberitahu Ketua Polis Negara bahawa kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan, dalam sistem demokrasi, (ia) dibenarkan dan diizinkan. Seperti mana saya juga akan menggunakan ruang untuk menjawab jika perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Isnin.
Ujar Anwar, beliau juga akan menjawab kritikan yang diberikan kepadanya sekiranya perkara tersebut melibatkan dirinya apabila perlu.
Tambahnya, seperti perbelanjaan yang tinggi mencecah RM600 bilion tanpa tender tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa kerana itu tidak termasuk dalam urusannya.
Kenyataan Anwar mengenai perkara sedemikian boleh dirujuk dalam video penuh siaran langsung di bawah pada durasi sekitar minit ke-2.
https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial/videos/453013190320757
Sumber: Awani
BACA: Harga Baharu Telur Akan Diumumkan Esok, Mungkin Lebih Murah